suria

6 Kali Nikki Buat Ujian Kehamilan

Hamil lima bulan tidak menghalang Nikki untuk menyertai Shout! The Mod Musical. - Foto oleh NORAFIFI EHSAN
Hamil lima bulan tidak menghalang Nikki untuk menyertai Shout! The Mod Musical. - Foto oleh NORAFIFI EHSAN
Hamil lima bulan tidak menghalang Nikki untuk menyertai Shout! The Mod Musical. - Foto oleh NORAFIFI EHSAN

KEKUATAN tenaga penyanyi, Nikki Palikat bertambah apabila kandungannya kini mencecah usia lima bulan sekarang. Dia bukan sahaja dapat bergerak aktif menjalani rutin hariannya malah mampu menyanyi dan menari sambil mengenakan kasut tumit tinggi sebagai persediaan Shout! The Mod Musical.

Nikki dan artis lain seperti Ning Baizura, Tria Aziz, Shanel Shanty dan Tisha Zarina bakal beraksi di pentas Shout! pada 15 hingga 21 Julai ini di KL Pac, Jalan Ipoh.

“Saya rasa seperti ada tenaga ekstra apabila hamil dan tak pernah jatuh sakit sepanjang membuat latihan sedangkan rakan-rakan yang lain ramai yang letih serta sakit.

“Bayi ini bukan sahaja memberikan tenaga malah semangat untuk saya menyanyi. Sepanjang latihan, saya perlu menyanyikan 20 buah lagu termasuk tiga lagu solo serta menari,” katanya yang menantikan kelahiran bayi itu pada November ini.

Bercakap tentang bulan itu, Nikki sungguh teruja dan berharap agar bayi sulungnya dengan komposer Audi Mok itu dilahirkan pada tarikh yang dijangkakan.

“Saya dilahirkan pada 1 November dan Audi dilahirkan pada 23 November. Doktor pula menjangkakan bayi ini dilahirkan pada 4 November.

“Saya harap anak kami juga dilahirkan pada bulan yang sama dan kalau dia dilahirkan sama dengan tarikh lahir saya, kelahirannya seperti hadiah hari lahir untuk saya,” ujarnya penuh gembira.

Penyanyi lagu Caramu (duet dengan Zahid) itu berkata dia menantikan kelahiran bayi lelaki. Di sebalik keceriaan yang dipamerkan, Nikki turut berkongsi cerita lucu semasa mula-mula mengetahui kehamilannya.

“Semasa mula-mula membuat ujian hamil, saya membuat enam kali ujian sebab tak percaya dan teruja.

“Lagipun saya nak betul-betul pastikan yang saya mengandung kerana saya dan suami merancang untuk mempunyai anak tiga tahun lagi. Tetapi rezeki anak ini datang terlebih awal. Jadi, kami tidak menolaknya,” ceritanya yang sudah mempunyai nama anak namun mahu merahsiakannya.

Nikki akui banyak hikmah yang berlaku selepas dia hamil. Disebabkan anak yang bakal lahir itu, suaminya juga banyak berubah.

“Audi selalu rajin pergi gimnasium, mengajak saya makan di rumah dan lebih gemar berjimat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nikki terpaksa menangguhkan pembikinan album ketiganya buat masa ini sehinggalah bayinya dilahirkan.

Artikel Lain