suria

Alyah Belum Mahu Bercinta

ALYAH
ALYAH
ALYAH

WALAUPUN dihimpit dengan pelbagai kemelut negatif, Alyah yang popular dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang sebenarnya bertuah kerana ramai lelaki cuba menawan hatinya.

Namun, hatinya tidak tergerak untuk menerima kehadiran cinta bukan kerana dia takut atau serik.

"Saya sebenarnya cuba mengenali orang lain tetapi mungkin kerana saya sekarang ialah Alyah, timbul pelbagai masalah. Saya nak orang kenal saya bukan sebagai artis.

"Saya ingin orang lain kenal saya seadanya. Kadang-kala, orang nak kenal kita kerana kita merupakan artis," katanya kepada MStar Online.

Alyah berkata, keikhlasan yang tidak dirasai wujud pada lelaki terbabit menyebabkan dia belum bersedia untuk bercinta.

Akuinya, terdapat lelaki yang cuba mendekatinya.

"Tipulah kalau saya kata tidak ada. Tetapi saya belum bersedia. Itu yang susah... jika dia nak kenal saya sebagai selebriti. Ia adalah okey. Saya nak tutup macam mana? Tapi dia kena berkawan dengan saya secara ikhlas.

"Janganlah bawa saya dan tunjukkan saya kepada kawan-kawan. Saya tidak suka itu. Saya hargai kawan saya memuja saya sebagai Alyah. Dalam hati, saya kata Alhamdulillah. Bagaimanapun, saya tak suka begitu kerana amat sukar berbuat demikian," ujarnya.

Sementara itu, Alyah menyasarkan untuk mengeluarkan album mengenai personalitinya selepas hari raya ini.

"Lagu-lagu dalam album itu adalah mengenai diri saya. Setiap lagu dalam album mempunyai ceritanya yang tersendiri. Contohnya, lagu pertama menceritakan tentang perhubungan saya, lagu kedua tentang gosip, trek berikutnya tentang famili saya dan sebagainya," katanya.

Album yang belum diberikan judul itu mula dihasilkan sejak Mac lalu. Ia mempunyai enam lagu dan masih terdapat tiga lagu yang belum direkodkan lagi. Rakaman untuk tiga lagu tersebut akan dibuat pada waktu puasa nanti ketika Alyah lebih lapang pada masa itu.

Antara komposer yang terlibat dalam album itu ialah Azlan Abu Hassan, Omar K, dan Zulfekar manakala penulis lirik termasuk Habsah Hassan, Sulu Sarawak dan Selen.

"Tentang album itu, saya cari komposer dan penulis lirik sendiri. Saya nak orang lain tahu betapa saya bersungguh-sungguh buat benda ini. Ini macam impian saya termakbul," ujarnya yang menanggung segala kos pembikinan album tersebut.

Artikel Berikut

Adam Hamid Suka Fantasi

Artikel Lain