suria

Erra Selesai Cara Baik Kes Produk Kecantikan

Erra bersama anak kesayangannya, Engku Aleesya yang telah pun berusia 15 bulan. - Foto THE STAR
Erra bersama anak kesayangannya, Engku Aleesya yang telah pun berusia 15 bulan. - Foto THE STAR
Erra bersama anak kesayangannya, Engku Aleesya yang telah pun berusia 15 bulan. - Foto THE STAR

MASALAH saman-menyaman yang berlaku antara pelakon Erra Fazira dengan bekas rakan kongsi syarikat produk kecantikan dan penjagaan kulit Ferra Kosmo Look diselesaikan dengan baik.

Menurut Erra, dia telah membayar sejumlah wang kepada pihak terbabit untuk tidak memanjangkan kemelut tersebut.

"Ia telah selesai. Akhirnya, saya kena membayar sejumlah wang. Itu semua cerita lama. Saya tidak ingin kecoh-kecoh mengenainya lagi sehingga menyebabkan perkara menjadi lebih rumit.

"Oleh itu, saya bayar sejumlah wang dan menyelesaikannya dengan baik. Saya gembira untuk menyatakan saya tidak lagi bersama syarikat itu," katanya kepada MStar Online.

Erra berkata, isu saman tidak timbul selepas pembayaran tersebut yang berjumlah puluhan ribu ringgit tetapi dibahagikan kepada tiga pihak.

"Saman tidak akan ada lagi sebab saya bayar. Orang lain salah membuat sesuatu tetapi nama saya yang terjejas. Ini yang saya tak nak tetapi ia berlaku juga. Jadi saya bayar," katanya.

Sebelum ini, Erra dan bekas rakan kongsinya pernah menjalankan usaha sama menghasilkan produk kecantikan dan penjagaan kulit di bawah jenama tersebut.

Ketika itu, menurutnya, walaupun telah lebih setahun menarik diri daripada usaha sama tersebut, namanya masih lagi digunakan oleh syarikat tersebut.

Difahamkan Erra telah mengemukakan surat permohonan untuk menarik diri daripada kolaborasi tersebut namun hingga ke tarikh tertentu belum mendapat hitam putih mengenai status permohonannya itu.

Dan produk itu juga masih dijual dan nama jenama tersebut tidak ditukar dan masih lagi menggunakan Ferra Kosmo Look. Erra dilaporkan kecewa apabila pelanggan produk tersebut sering merujuk kepadanya.

Justeru, dia bercadang untuk melantik seorang peguam untuk meneliti isu tersebut.

Sementara itu, mengenai perkembangan semasanya, Erra memberitahu, dia masih mempunyai rakaman 13 episod siri televisyen dengan Astro untuk tahun ini.

"Kalau ada skrip yang bagus. Saya akan mengambil peluang tersebut," katanya yang lebih memfokus kepada familinya.

Erra akan menyiapkan albumnya di bawah naungan Suria Records Sdn Bhd (SRC).

Artikel Berikut

Adam Hamid Suka Fantasi

Artikel Lain