suria

YDSM Naungi Simfoni Amal Diraja

PETALING JAYA: Mulai 2 Oktober ini, Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) akan menjadi penaung majlis Simfoni Amal Diraja –Harmoni Itu Indah yang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ketua Pegawai Eksekutif YDSM, Dr Mazman Sulaiman berkata, majlis tersebut diadakan bertujuan untuk menambah dana YDSM.

"Sempena majlis ini, YDSM amat mengalu-alukan sambutan para dermawan terhadap pembelian meja, penjualan buku Dirgahayu Tuanku - Sejarah Tiga Abad Kesultanan Terengganu dan juga lelongan lukisan-lukisan.

"Sebuah persembahan konsert amal juga akan diadakan pada malam tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Mazlan memberitahu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin selaku penaung YDSM telah berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Katanya, baginda menghargai semua sumbangan kerana ia akan mencerahkan masa depan golongan yang memerlukan pertolongan.

"Ia juga suatu tanda bahawa baginda sememangnya seorang Raja berjiwa rakyat yang turut mempunyai minat dalam bidang seni dan muzik," katanya.

Tambah Mazman, majlis yang bertemakan 'Harmoni Itu Indah' secara tidak langsung akan menyatukan semua rakyat Malaysia berbilang kaum, bangsa dan agama.

YDSM telah ditubuhkan pada 19 Julai 2005. Objektif penubuhannya ini antara lain adalah sebagai satu laluan merealisasikan iltizam Tuanku Mizan untuk berbakti kepada rakyat yang layak lagi memerlukan.

Sejak penubuhannya, YDSM telah banyak mengadakan pelbagai aktiviti yang memanfaatkan masyarakat Malaysia khususnya rakyat Terengganu.

Antaranya adalah menyokong dan membantu usaha pengekalan identiti seni dan budaya bangsa seperti menjamin kesinambungan seni kraf Terengganu, disamping program-program murni seperti membela nasib anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, para petani dan nelayan yang memerlukan.

Kelancaran YDSM dalam melaksanakan segala program-programnya selama ini pastinya telah dibantu melalui sumbangan dan pemberian daripada para dermawan baik secara individu mahupun melalui pihak korporat dalam menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat masing-masing.

Artikel Sebelum

Seniman Harap Bantuan

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan