suria

Farah Asyikin Bertunang Selepas Dilamar Enam Lelaki

Farah Asyikin bertunang dengan duda berusia 36 tahun pada Jun lalu. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Farah Asyikin bertunang dengan duda berusia 36 tahun pada Jun lalu. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Farah Asyikin bertunang dengan duda berusia 36 tahun pada Jun lalu. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH

CUKUPLAH Farah Asyikin menyatakan kini dirinya sudah menjadi tunangan orang. Pasti ramai yang sudah sedia maklum tentang hubungannya dengan duda berusia 36 tahun berasal dari Singapura seperti dihebahkan oleh media tempatan sejak Oktober lalu.

Namun, dia menafikan akan mendirikan rumah tangga pada hujung tahun ini selepas mengikat tali pertunangan pada Jun lalu. Mereka saling mengenali sejak setahun lepas.

“Saya akan umumkan tarikh pernikahan kami apabila tiba masanya. Saya tidak mahu beri apa-apa komen tentang perkahwinan kami terlebih awal kerana belum tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang.

“Saya pernah berkahwin sebelum ini dan mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kerana ia tidak mendatangkan kebaikan sebaliknya keburukan,” katanya kepada mStar Online.

Khabarnya, selepas Farah diceraikan oleh bekas suaminya Dr. Fariz Yahya, 32, pada 26 Mei 2008, dia pernah dilamar oleh lima orang lelaki.

Namun akhirnya dia memilih untuk menerima pinangan lelaki yang keenam yang menjadi tunangannya sekarang ini.

Apakah keistimewaan lelaki itu, biarlah ia menjadi rahsia Farah.

Tunangannya menetap dan bekerja di Macau, sebagai jurutera bunyi. Disebabkan kesibukan tunang dan dirinya sendiri, sebab itu dia mengambil jalan untuk tidak memberi komen tentang tarikh pernikahan mereka.

“Kami jarang berjumpa dan dia selalu sibuk dengan komitmen kerja di Macau. Jadi, saya tidak berani untuk berkata akan berkahwin pada hujung tahun ini.

“Semuanya ketentuan Tuhan. Saya sebenarnya macam tak percaya daripada seorang sahabat kini kami sudah bertunang,” ujarnya yang ayu mengenakan baju kurung kapas.

Perkenalan mereka terdetik menerusi laman sosial Facebook. Pada mulanya Farah hanya menganggap tunangnya itu sebagai peminat biasa.

Paling penting buat Farah apabila keluarga tunangnya itu dapat menerima dia seadanya. Malah hubungan mereka begitu rapat dan dia akui menyayangi keluarga itu seperti keluarganya sendiri.

Dalam perkembangan lain, Farah sedang dalam proses menyiapkan album penuhnya yang akan muncul pada hujung tahun ini.

Selain itu, dia juga akan tampil dengan single Penjagaku berkonsepkan kerohanian dan zikir pada bulan Ramadan tahun ini.

Farah juga bakal muncul dengan lagu duet berjudul Kamu Aku Satu bersama-sama vokalis Fotograf, Shamrin yang diterbitkan oleh Rafikoncept.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain