PENYANYI dan pelakon Irwansyah membantah langkah Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa mengharamkan rancangan gosip infotainment yang disiarkan di kebanyakan stesen televisyen Indonesia.Kata Irwansyah, berita yang disiarkan menerusi rancangan gosip bercorak hiburan itu sebenarnya bukan sebuah cerita rekaan. Bagaimanapun jika ada kesilapan di dalam laporan berkenaan adalah lebih baik ditegur. “Kalau ada berita yang lagi panas, mungkin cerita itu sahaja yang diharamkan. Bukan rancangan itu keseluruhan. Tapi kalau cerita yang disiar itu ditokok tambah, lebih baik terus telefon siapa yang membuat cerita itu,” kata bekas kekasih Acha Septriasa ini kepada portal Inilah.Com, Khamis.Sementara itu Pakar Komunikasi dari Institut Pertanian Bogor, Mohamad Ihsan dalam portal yang sama berkata fatwa pengharaman itu adalah positif tetapi ia tidak akan berjaya mempengaruhi masyarakat.Katanya, apa yang dibimbangkan fatwa berkenaan hanya akan menjadi hangat-hangat tahi ayam seperti yang berlaku lima tahun lalu apabila Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU) yang turut mengeluarkan fatwa yang sama.Bagaimanapun fatwa berkenaan hanya menjadi kecoh di dalam akhbar tetapi setelah isu berkenaan kembali reda, stesen-stesen televisyen tempatan terus menayangkan rancangan infortainment mereka semula.“Nasib fatwa mengenai infotainment kemungkinan besar akan jadi seperti PBNU. Hanya heboh begitu sahaja,” katanya.Sebelum ini MUI mengeluarkan fatwa rancangan infotainment adalah haram baik yang menyiarkannya mahupun mereka yang menonton.Alasannya rancangan gosip hiburan itu menceritakan keaiban orang dan perkara-perkara lain yang hukumnya haram untuk tontonan orang ramai.Isu berkenaan menjadi kecoh sebelum ini apabila pada hujung tahun lalu artis Luna Maya mengecam wartawan infotainment dengan menggelar mereka mirip seperti pelacur.