JIKA pelakon dan penyanyi, Kelvin Lau Yeong Nan melihat pelbagai gelagat serta karakter pelakon di depan kamera, lain pula situasinya apabila dia berhadapan dengan karakter pelanggan ketika berada di kedai salun miliknya.Ini kerana segelintir pelanggan cukup cerewet. Mereka berharap mendapat potongan harga walaupun ada di antara mereka kaya-raya. Malah pelanggan juga sentiasa mahukan untuk mendapat potongan rambut yang terbaik dan tidak akan berkompromi dalam soal tersebut. "Silap mendandan, potong atau rawat rambut pelanggan, alamat kena maki atau lebih buruk lagi, mungkin hilang pelanggan pada masa depan."Namun, saya belajar bagaimana untuk menangani kerenah para pelanggan yang cerewet. Saya berpuas hati sekiranya mereka gembira dengan hasil tangan saya," katanya kepada Mingguan MStar.Kelvin yang berasal dari Klang ialah pemilik bersama kedai salun Max Hair Link yang terletak di Axis Atrium, Ampang, Selangor. Dua rakan kongsinya ialah Ryan Lee Sek Hong dan Amanda.Masing-masing berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang itu kecuali Kelvin yang baru berjinak-jinak menceburkan diri dalam dunia perniagaan tersebut.Menurut Kelvin, dia belajar mereka bentuk rambut di salah sebuah salun di Sungai Wang Plaza selama dua tahun sebelum bekerjasama dengan rakan-rakannya membuka salun tersebut pada 3 April lalu.Dia belajar teori selama enam bulan dan menjalani praktikal selama 18 bulan lagi untuk memperoleh Diploma Dalam Penggayaan Rambut. Hasilnya cukup memberangsangkan. Dia kini mahir memotong, mewarna, merawat serta meluruskan rambut.Berkongsi pengalaman awalnya melayani pelanggan, Kelvin berkata, seorang pelanggan wanita pernah mengadu kesakitan semasa dia mengendalikan sesi meluruskan rambut (rebonding)."Rupa-rupanya latihan meluruskan rambut pada rambut patung tidak sama dengan cara kita menguruskan rambut pelanggan. Patung tidak bertindak balas ketika kita menarik rambut mereka," katanya sambil tergelak.Semua itu adalah satu pengalaman. Berkat minat mendalam serta kegigihannya menguasai seni menguruskan rambut itu, Kelvin sudah terkenal di kalangan artis mahupun pelanggan sebagai pakar luruskan rambut.Setakat ini, Kelvin memberitahu artis-artis Akademi Fantasia seperti Amylea dan Farhan merupakan pelanggan tetap di salunnya.Mengenai perkembangan seninya, Kelvin telah habis menjalani penggambaran drama bersiri SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sebanyak 13 episod yang bakal ditayangkan di RTM2 pada Oktober ini.Dia memegang watak Teoh QQ ialah salah seorang daripada tujuh pegawai Cina SPRM yang menjalankan siasatan bagi menyelesaikan kes-kes rasuah."Saya seronok membawa watak itu kerana rasa bertanggungjawab untuk menangkap penjahat," katanya yang fasih bertutur dalam Bahasa Kantonis, Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Mandarin.Walaupun isu dalam drama itu agak berat seperti kes jual bayi, curi pasir, dadah, pil khayal, Kelvin berjaya menyuntik elemen lucu kerana karakter 'takut mati' yang digambarkannya."Watak itu melucukan kerana saya 'takut untuk mati'. Seorang rakan sekerja bernama Ah Yen asyik ketawakan saya kerana takut menjalankan tugas."Bagaimanapun, saya hanya kurang serasi kerana baru dilantik menjadi pegawai SPRM," jelasnya sambil menambah dia menghabiskan 17 hari untuk penggambaran drama arahan pengarah, Terry Chan di bawah syarikat produksi, Terry Production Company.Jalan cerita drama SPRM dihasilkan dengan kerjasama SPRM sendiri. Kes yang diketengahkan adalah kes sebenar yang telah ditapis terlebih dahulu bagi menjaga sensitiviti.Selepas terlibat dalam penggambaran drama tersebut, Kelvin mengakui dia lebih memahami peranan pegawai SPRM. Dia tahu mereka juga mempunyai kesusahan yang jarang difahami oleh orang ramai."Pada pandangan saya, drama ini dapat membantu masyarakat melihat SPRM dari sisi yang lain. Orang lain mungkin tidak faham peranan pegawai SPRM sekiranya melihat dari posisi sedia ada."Adalah tidak mudah kerana mereka mengendalikan banyak kes dan setiap kes perlu diselesaikan secara terperinci," ujarnya.Kelvin turut memberitahu, para penonton drama SPRM berpeluang menyaksikan aksi-aksi pertarungan sebenar yang dilakonkan sendiri.Katanya, pelakon aksi ngeri tidak digunakan dalam babak pergaduhan. Mereka hanya mengajar barisan pelakon teknik-teknik melakukan tumbukan serta serangan.Selain itu, Kelvin tidak mungkin dapat melupakan latihan menembak di Mantin, Negeri Sembilan yang diterimanya bagi membolehkannya mengendalikan senjata api sebenar dalam lakonan.Dari segi nyanyian, Kelvin setakat ini, mempunyai tujuh album Cina selain EP yang mengandungi dua buah lagu iaitu Kau Untukku serta Cinta Bukan Baju.Antara perniagaan, nyanyian dan lakonan yang diceburinya, Kelvin tidak dapat memilih satu bidang yang paling digemarinya.Baginya, setiap bidang memberikan cabaran yang cukup berbeza. Ini menjelaskan kenapa jejaka kacak ini mampu menjadi artis serba boleh dalam segala aspek.* Artikel dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan setiap Ahad bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.