suria

Farid Kamil Jejas Rakaman Kampung Prima: Babak 105

KUALA LUMPUR: Kegagalan aktor Farid Kamil untuk hadir menjayakan rakaman program raya astro Prima berjudul Kampung Prima: Babak 105 telah menjejaskan perjalanan rakaman yang telah dirancang.

Dia yang sepatutnya hadir pada sesi rakaman itu berlangsung, Jumaat lalu, gagal dihubungi sehingga menyebabkan jalan cerita skrip asal ditukar.

Penerbit Eksekutif, Nizam Hamid memberitahu perkara tersebut tidak seharuskan berlaku kerana ia menyusahkan seluruh kru produksi dan pelakon.

"Petang sebelum rakaman, dia ada di Astro dan kami sudah ingatkan dia tentang rakaman ini, tetapi malam selepas buka puasa dia gagal dihubungi.

"Perkara ini memang agak menyusahkan seluruh krew produksi, kami terpaksa tukar balik skrip asal yang ditulis untuknya. Dia juga memegang dua watak dalam sitkom ini, nasib baik kami sudah rancang awal-awal untuk back up skrip," ujarnya.

Dalam pada itu, Nizam memberitahu Farid sebagai wajah eksklusif Astro seharusnya mengambil berat tentang perkara ini.

"Sebelum ini kami belum pernah bekerjasama dengan dia, tapi saya tidak pernah dengar tentang masalah yang dia timbulkan.

"Kalau betul dia ada masalah seharusnya beritahu kami awal agar persiapan lain boleh diatur. Dia juga perlu tahu tanggungjawab dia sebagai wajah ekslusif astro," katanya.

Sementara itu, menurut Nizam surat akan dikeluarkan kepada Jabatan Astro Talent yang bertanggungjawab menjaga pelakon Lagenda Budak Setan itu.

"Kami tidak tahu apa tindakan yang akan diambil kepada mereka yang tidak berdisplin kerana ia adalah di luar bidang kuasa kami tetapi kami akan keluarkan surat aduan kepada mereka," ujarnya.

Program raya bercorak Muzikal Komedi merupakan satu-satunya sitkom di Astro Prima yang akan ditayangkan pada hari raya kedua ini pukul 10.30 pagi.

Sitkom ini turut membariskan pelakon-pelakon seperti Johan, Zizan, Saleh Yaacob, Julia Ziegler dan ramai lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain