BIARPUN pernah melalui pengalaman apabila bayi sulungnya, Nur Eishal Mohd Silahuddin "diganggu" hantu, ia tidak menghalang aktres Eja untuk berlakon cerita hantu berjudul Durja Ningsun.Itupun selepas 13 tahun menceburi bidang lakonan. Bukan sengaja hendak meraih publisiti, Eja atau nama sebenarnya Siti Sharizah Saifuddin, 38, menaruh keyakinan dia sudah mampu untuk berlakon drama seperti itu setelah diyakinkan oleh pengarah Ahmad Idham.Durja Ningsun akan ke udara menerusi slot Seram di TV3 mulai 19 Ogos ini, setiap Khamis, pukul 9.30 malam.Eja berkata drama 13 episod itu merupakan drama seram pertama yang dilakonkan walaupun sebelum ini pernah membintangi filem Janin yang lebih banyak bermain dengan emosi.Jelas Eja, dia mengamalkan bacaan ayat Kursi dalam surah Al-Baqarah selain melakukan petua lain yang diberikan oleh pelakon Eizlan Yusof yang turut sama berlakon dalam drama tersebut.“Saya rasa terlalu letih apabila melakonkan cerita hantu sebab kita banyak mengeluarkan tenaga untuk menjerit dan sebagainya.“Saya juga sentiasa rasa takut dan gusar sebab saya mempunyai anak kecil dan tambahan pula pertama kali berlakon cerita hantu. Tetapi alhamdulillah, sepanjang saya berulang-alik menjalani penggambaran drama itu di Kuang, Selangor tiada perkara pelik dan aneh yang mengganggu saya.“Tambahan pula, saya mengamalkan bacaan surah ayat suci dengan cara berdiri pada posisi menghadap pintu,” katanya kepada mStar Online.Bercerita tentang insiden anaknya diganggu makhluk halus, Eja berkata ia berlaku selepas dia menginap di rumah barunya di kawasan Bukit Kiara kira-kira setahun lalu.Waktu itu, dia baru selesai berpantang. Selama 50 hari anaknya tidak berhenti menangis sekitar pukul 11 malam sehingga 7 pagi.Alhamdulillah, segala kepahitan itu berakhir jua setelah dia sentiasa membaca ayat Kursi tanpa henti selama enam bulan berturut-turut.Sehingga sekarang pun, Eja masih mengamalkan ayat tersebut kerana yakin ia mampu menjauhkan dirinya dan keluarga daripada gangguan makhluk halus.Bercerita tentang aktvitinya sepanjang bulan Ramadan ini, Eja lebih banyak memanfaatkan masanya untuk bersama-sama keluarga termasuk bersolat terawih.“Saya memasak sendiri dan tidak melepaskan peluang pergi ke bazar. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah tinggal melakukan solat terawih. Saya memang sengaja menolak aktviti seni seperti lakonan pada bulan Ramadan dan jika ada undangan berbuka puasa pun saya akan pertimbangkan dahulu,” beritahunya.Antara masakan istimewa daripada ‘air tangan’ Eja sepanjang Ramadan ini seperti sup sayur, gulai lemak, ayam masak kicap dan ikan tenggiri masak taucu.Apabila ke bazar seperti di kawasan Bangsar, Taman Tun Dr Ismail, Seksyen 16, Petaling Jaya dan Ampang, tidak lengkap jika tidak membeli siput sedut, murtabak dan onde-onde.Selain Durja Ningsun, duta produk kecantikan dan pelangsingan badan, Bio Essence itu turut menantikan kemunculan drama terbarunya, Ahmad Durrah untuk slot Zehra di TV3.