suria

Edry Ajar Anak-Anak Berpuasa Secara Sukarela

DALAM mengajar anak-anak berpuasa, komposer dan pengarah terkenal, Edry Abdul Halim, 34, (gambar) menerapkan contoh teladan daripada diri-sendiri agar menjadi ikutan mereka.

Bapa kepada empat orang anak iaitu Emil, 10, Edylia, 7, Emery, 3, dan Elya, 2 bulan, itu cuba mengajar anak-anaknya belajar puasa secara sukarela dan bukan kerana suruhannya.

Memandangkan usia anak-anaknya terlalu muda, dia tidak menafikan, habuan duit raya juga mampu memberikan motivasi dan menggalakkan mereka berpuasa.

Sehingga Sabtu, anak sulungnya, Emil masih berpuasa penuh manakala Edylia hanya tahan berpuasa setengah hari. Menurutnya, Emil mula belajar berpuasa sejak berusia tujuh tahun.

“Saya ajar Emil termasuk yang lain supaya menganggap puasa sebagai cabaran. Jika saya nak jelaskan lebih mendalam tentang hukum agama, saya rasa mereka terlalu muda untuk memahaminya. Tetapi saya selalu berpesan kepada mereka bahawa puasa mengingatkan kita kepada orang lain yang tak bertuah seperti kita.

“Saya cuba beri informasi yang jelas seperti itu dan tidak mahu dia berpuasa kerana disuruh. Saya nak dia faham dan berpuasa secara sukarela. Lagipun, Emil tak nak hampakan saya jika dia berbuka puasa,” beritahunya yang baru pulang dari Bangkok.

Begitu juga apabila tiba waktu berbuka dan sahur, Edry dan isteri, Milia Mohamad, 35, akan mengajak anak-anaknya turut serta dari kecil bagi melatih dan mendidik mereka dalam berpuasa.

Menceritakan tentang melayan kerenah anak-anak sewaktu bulan puasa ini, Edry merasai keriuhan dan kemeriahan ketika berada di rumah bersama-sama mereka lebih-lebih lagi dia baru sahaja menyambut kelahiran orang baru.

Masanya lebih banyak terluang di rumah disebabkan kesukaran untuk membawa bayi yang masih kecil.

Pada Hari Raya nanti, Edry sekeluarga akan beraya di Kuala Lumpur dan rumah neneknya di Gopeng, Perak.

Artikel Lain