Khaliah Abbas menunjukkan dokumen yang telah ditandatangani oleh seorang pelakon drama popular berhubung penjualan sebuah rumah teres bernilai RM800,000.PETALING JAYA: Seorang ejen hartanah, Rabu, mendakwa ditipu seorang pelakon drama terkenal membabitkan penjualan rumah teres bernilai RM800,000.Eksekutif Kanan Harta, Asian Land Realty, Khaliah Abbas membuat pendedahan itu kepada mStar Online, Rabu selepas beberapa kali gagal menghubungi artis berkenaan dan peguamnya bagi menuntut komisen sebanyak 2 peratus dari hasil jualan rumah yang berjumlah RM16,000. Menurut Khaliah, artis wanita berkenaan yang pernah mencetuskan kontroversi tidak lama dulu didakwa gagal menunaikan janji untuk memberikan komisen sebaik sahaja harta miliknya dan suami itu berjaya dijual.“Tetapi sayang selepas dia dapat duit, dia terus mengelak untuk bertemu dengan saya dan gagal memberikan komisen sebanyak RM16,000 seperti yang dipersetujui dalam perjanjian.“Malah ketika saya menghubunginya untuk bertanyakan wang berkenaan, dia mengeluarkan kata-kata kurang sopan dengan mendakwa pihak saya tidak menjalankan tugas untuk mencari pembeli rumahnya itu,” katanya.Menurut Khaliah, jika pihaknya tidak mencari pembeli, mana mungkin rumah itu dapat dijual kepada seorang ahli perniagaan berbangsa Cina pada bulan Mac lalu.Katanya, rumah tersebut pada mulanya sukar dijual terutama sekali di kalangan orang Melayu yang mengetahui kisah artis itu.Ujarnya selepas lebih 15 individu mengemukakan hasrat untuk membeli, hanya seorang ahli perniagaan berbangsa Cina sahaja bersedia memperoleh rumah berkenaan secara tunai.“Itu pun selepas saya beberapa kali membaca surah Yassin memohon Allah memudahkan urusan artis itu kerana saya simpati melihat kehidupannya dan anak-anak yang hidup melarat termasuklah bayaran kereta sudah beberapa bulan tidak dijelaskan,” katanya.Sehubungan itu jelas Khaliah, pihaknya tidak dapat berdiam diri dan akan mendakwa artis tersebut di mahkamah yang akan difailkan dalam minggu ini.Kata Khaliah, pihaknya mempunyai cukup bukti untuk mengheret pelakon wanita itu ke muka ke pengadilan termasuklah mahu mengisytiharkannya bankrap.“Kami tidak akan berdiam diri sebaliknya akan mendakwa artis ini dan meminta dia bersedia untuk bertemu di mahkamah,” ujarnya.Khaliah memberitahu dia amat kecewa dengan artis tersebut kerana pandai bermuka-muka termasuklah berlakon seperti “orang baik-baik” ketika ingin mendapatkan perkhidmatannya bagi menjual rumah teres itu.