Julia Ziegler fobia berlakon watak jahat disebabkan kisah silamnya. - Foto oleh SIA HONG KIAUADA sebab mengapa aktres Julia Ziegler fobia untuk berlakon watak antagonis seperti penggoda, kaki kikis dan skandal.Bukan sahaja enggan dilabel sebagai wanita liar dan pelacur, Julia atau nama sebenarnya Julia Bob Fauzi Ziegler, 26, mempunyai kisah sebaliknya. Pengalaman pernah digoda oleh cikgu bahasa Inggerisnya sewaktu di tingkatan 4 yang merupakan suami orang membuatkan dia serik dan bimbang jika lakonannya sebagai penggoda bakal memberikan kesan kepada dunia realitinya.“Saya tak nak orang cop saya yang bukan-bukan setelah menonton lakonan saya membawakan watak wanita jahat. Sejak akhir-akhir ini, tidak dinafikan saya kerap menerima tawaran untuk berlakon sebagai penggoda suami orang, kaki kikis, penagih dadah dan wanita liar.“Suatu hari tu, kawan baik saya sendiri mengatakan lakonan jahat saya memberikan kesan sehingga dia rasa seperti mahu melanggar saya jika saya berada di tepi jalan.“Lagipun, sebelum ini isteri cikgu saya pernah menyerang saya dan menuduh saya merampas suaminya. Sedangkan waktu itu cikgu itu yang menelefon saya dan sering memberitahu masalahnya serta mahu bercerai dengan isterinya itu."Padahal isterinya sedang mengandung. Sejak daripada itu, saya rasa fobia untuk berkawan dengan suami orang lagi,” kata Julia ketika dihubungi mStar Online.Namun begitu, tidak bermakna model ini mahu ditawarkan watak baik kerana gusar sekiranya penonton membandingkan watak berkenaan dengan personalitinya di luar selain menganggapnya hipokrit.Baginya, kalau boleh biarlah watak itu benar-benar mencabar dan belum pernah dilakonkan olehnya sebelum ini.Wajah pan Asian kacukan Jerman, Amerika, Melayu dan Jawa yang dimilikinya ditambah pula dengan dirinya yang seksi membuatkan ramai lelaki bujang dan suami orang tertarik dengan Julia.Tidak dinafikan, dia sanggup mengelak daripada berjumpa dengan suami rakan-rakannya termasuk mereka daripada kalangan artis.“Saya bukan nak perasan tapi apabila memandang bahasa badan lelaki itu, saya dapat rasakan dia mahu menggatal dengan saya. Daripada berlaku perkara yang tidak baik, lebih baik saya mengelak terlebih dahulu.“Lelaki bujang pun ada juga yang memikat tetapi saya tak boleh terima sebab merasakan mereka bukanlah lelaki yang sesuai. Bukan saya cerewet tetapi saya takut untuk bercinta sebab pernah banyak kali dikecewakan lelaki.“Kadangakala, apa yang kita kejar bukan senang nak dapat. Jadi saya rasa lebih baik relaks dulu dan bila hati dah terbuka, insya-Allah ia akan menjadi,” ujar anak ketiga daripada empat beradik ini.Kini selepas empat tahun dia hidup solo, Julia lebih selesa berkawan dengan lelaki terlebih dahulu untuk kenal hati budi sebelum dijadikan sebagai calon suami.Apa yang pasti, wanita berasal dari Ampang, Selangor ini semakin pandai menilai perangai kawan lelaki yang berkualiti ataupun tidak.Walaupun pernah dilamar untuk berkahwin oleh lima hingga enam orang lelaki, Julia tidak pernah mengambil pusing dan menganggap ia sebagai gurauan semata-mata.Namun lelaki yang hadir dalam hidupnya itu bukanlah orang biasa sahaja, malah ada juga dari kalangan selebriti dan VVIP.“Ada yang melamar menerusi Facebook dan ada juga berjumpa dengan saya. Yang serius pun ada sehingga menangis-nangis dan merayu untuk memperisterikan saya kerana terlalu menyayangi saya.“Macamana pun, saya berserah kepada jodoh kerana saya tak tahu di mana jodoh saya. Mana tahu mungkin jodoh saya di Australia atau di Amerika Syarikat,” katanya berseloroh.Biar apa pun yang berlaku selepas ini, pelakon filem Kayangan, Cicakman 2 dan Jangan Tegur ini mahu memenuhi niatnya untuk mengerjakan umrah dan mencari diri-sendiri terlebih dahulu.Dalam perkembangan lain, Julia sedang sibuk membantu kakaknya, penerbit filem Linda Ziegler mempromosikan filem Crayon yang akan ditayangkan pada 11 November ini.