Faisal melakonkan watak Rafaat dalam filem Crayon. - Foto oleh SIA HONG KIAUSEBELUM ini nama Faisal Abdullah, 26, lebih dikenali dalam bidang muzik, teater, filem pendek dan stand-up comedy.Kini, dia mencuba nasib sebagai pelakon filem menerusi filem pertamanya, Crayon yang akan ditayangkan pada 11 November ini. Namun begitu, tidak bermakna dia bercita-cita untuk bergelar seorang pelakon pada suatu hari nanti sebaliknya lebih selesa bekerja di belakang tabir selain menggemari stand-up comedy.“Terus-terang, orang yang membawa dan memperkenalkan saya kepada penerbit filem Crayon ini adalah Harith Iskander. Saya sangat berterima kasih kepadanya kerana membuka peluang ini.“Tapi saya lebih suka bekerja di belakang tabir dan mahu menjadi seorang pengarah pada suatu hari nanti. Sekarang, saya sedang belajar pengajian diploma dalam bidang digital film making dan selepas ini hendak melanjutkan pelajaran dalam film making di Oxford, United Kingdom,” katanya ketika majlis tayangan tertutup filem Crayon di Cathay Cineleisure Damansara, Khamis.Menyentuh tentang percubaan pertamanya itu, Faisal akui seronok bekerja di bawah arahan Dean A Baharuddin yang tidak jemu memberikan tunjuk ajar.“Dean seorang yang sangat peramah dan bersikap adil dengan semua pelakonnya. Selain mendapat bantuannya, saya juga membuat rujukan sendiri untuk melakonkan watak Rafaat, seorang sukarelawan di rumah anak yatim,” ujarnya yang pernah mengikuti pengajian seni bina selama empat tahun.Ditanya tentang hubungannya dengan Harith, dia berkata pelawak, pelakon dan pengarah itu merupakan mentornya dalam bidang hiburan ini.Tidak dinafikan Harith banyak memberikan tunjuk ajar kepadanya tentang selok-belok membuat persembahan stand-up comedy di pentas.Lantas sebab itu pemuda berasal dari Kuala Lumpur ini memasang angan-angan untuk mengikut jejak langkah mentornya itu dan berjaya sepertinya pada suatu hari nanti.Faisal juga merupakan komposer dan penerbit muzik. Antara penglibatannya adalah teater Importance of Being Earnest di Kolej Taylor dan membikin filem pendek berjudul Sham yang muncul di Short+Sweet, KLPac. Selain itu, dia turut menyertai persembahan live Acoustic-duo band, Twice Da Rice, Young Comedians of Malaysia dan muzikal DanSing Thru Broadway.