suria

Dipukul Badrul Muhayat : Julia Serik Dengan Lelaki

Badrul Muhayat
Badrul Muhayat
Badrul Muhayat

PETALING JAYA: Isteri pelakon Badrul Muhayat,42, iaitu Julia Daud,29, mengakui fobia untuk berkahwin bukan sahaja dengan artis malah dengan mana-mana lelaki selepas melalui pengalaman buruk dalam rumah tangganya.

Kata Julia, insiden dipukul dan ditendang oleh Badrul Muhayat selama berkahwin membuatkan dia hilang kepercayaan terhadap golongan lelaki.

"Saya jadi takut dengan perkahwinan, bukan sahaja dengan artis malah dengan lelaki biasa sekalipun. Sehinggakan bila tengok adik saya bercinta pun saya sentiasa ingatkan dia banyak kali agar tidak terlalu percaya kepada lelaki.

"Cukuplah pengalaman yang terjadi kepada saya selama ini yang boleh menjadi pengajaran dalam memilih pasangan hidup. Sekarang saya hanya fikir masa depan anak-anak sahaja," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, Selasa.

Julia yang tidak mampu menahan derita hidup sebagai isteri kepada Badrul hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Rabu bagi menguruskan perceraian mereka.

Jelas Julia, berikutan kejadian sering dipukul oleh Badrul membuatkan dia malu untuk meminta bantuan dan nasihat daripada keluarga.

Ini kerana keluarganya pernah melarang Julia daripada berkahwin dengan artis tetapi dia cuba meyakinkan ahli keluarganya tidak semua artis berperangai buruk.

"Segala kesusahan saya selama ini saya hanya tanggung sendirian. Hanya rakan-rakan rapat sahaja yang mengetahuinya. Saya tidak minta bantuan keluarga sebab pada awal perkahwinan dulu keluarga yang paling membantah.

"Rupa-rupanya nasihat mereka itu ada kebenaran dan saya sememangnya malu dengan mereka," katanya yang mengaku menutup keburukan Badrul daripada pengetahuan keluarganya selama ini.

Dalam pada itu, Julia yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga bersama pelakon tersebut berharap laporan polis kali ke 10 terhadap kekerasan yang dilakukan Badrul keatasnya merupakan laporan yang terakhir.

"Sama ada dia datang atau tidak ke mahkamah saya tidak peduli. Saya sudah nekad dan untuk bercerai. Kalau permohonan pertama pada 2008 dahulu saya tiada saksi, kini saya yakin segalanya akan berjalan lancar.

"Tidak ada gunanya dia menjadi suami jika tidak melakukan tanggungjawab sebagai suami. Saya lebih rela menjadi ibu tunggal dan besarkan anak sendirian," katanya.

Tambah Julia, segala keperitan hidup yang dilalui selama bergelar isteri kepada pelakon itu tidak pernah sekalipun dihargai, malah menambah penderitaannya.

"Segala pengorbanan yang saya buat selama ini tidak pernah dihargainya. Saya yang bekerja menanggung keluarga dan dia, ketika dia ditangkap, saya syang bersusah payah bebaskan dia dari lokap," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain