suria

Anum AF8 Demam Terkejut Dengar Adik Kemalangan

Anum
Anum
Anum

GARA-GARA terkejut dengan berita kemalangan yang menimpa adik lelakinya, penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia 8 (AF8), Dayang Nor Anum Arjuna Aharun atau Anum, 19, mendapat demam akibat terlalu bimbang.

Pada pagi Isnin lalu (20 September), adik lelaki Anum iaitu Awang Mat Azfar Izat Aharun, 14, telah dilanggar oleh motosikal dari arah belakang sehingga menyebabkan kecederaan teruk di bahagian kepala dan leher serta koma selama tiga hari.

Menurut Anum yang dihubungi mStar Online, dia hanya dimaklumkan oleh orang tuanya di Kota Kinabalu, Sabah selepas dua hari kemalangan itu berlaku kerana keluarganya tidak mahu dia bimbang.

"Saya sangat terkejut apabila ibu bapa memberitahu saya tentang berita kemalangan adik. Disebabkan keluarga tidak mahu buat saya bimbang, mereka sengaja tidak hubungi saya dengan serta-merta. Saya hanya diberitahu selepas adik koma selama dua hari.

"Berita itu sangat mengejutkan sampai saya jatuh sakit dan demam dibuatnya. Maklumlah, saya berada di sini dan tidak sempat pula untuk pulang ke kampung untuk melihat keadaan adik sebab masih terikat dengan urusan kerja," katanya.

Ditanya tentang perkembangan terbaru adiknya, Anum berkata, ibubapanya memberitahu bahawa keadaan adiknya kini bertambah baik dan telah dibenarkan pulang ke rumah.

"Menurut apa yang diberitahu oleh ibu bapa, keadaan adik sudah bertambah baik dan kini sudah pulang ke rumah. Sebelum ini, adik berada dalam keadaan yang kritikal sehingga koma selama tiga hari. Walaupun lehernya patah dan terpaksa bersimen tetapi saya lega sebab dia selamat," katanya.

Anum yang belum berkesempatan untuk pulang ke kampung halamannya sejak kemalangan itu berlaku bagaimanapun merancang untuk pulang ke Kota Kinabalu pada esok (Isnin) bagi menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat.

"Saya akan pulang ke kampung pada Isnin untuk melawat adik. Kebetulan, keluarga juga akan mengadakan majlis kesyukuran dan doa selamat jadi saya akan bercuti selama tiga hari di kampung," katanya.

Menyentuh soal karier, Anum berkata, dia kini sedang membuat persiapan bagi Konsert Reunion AF 2010 yang bakal diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil pada 10 Oktober depan.

"Selepas pulang dari Sabah nanti, saya akan terlibat dengan persiapan untuk Konsert Reunion AF 2010. Setakat ini saya belum diberitahu tentang butiran terperinci konsert itu. Mungkin kami (artis AF) akan dipanggil untuk taklimat konsert itu dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Sebelum

Yusry Tak Mahu Kalah Dengan Edry?

Artikel Berikut

Artikel Lain