Aidil Zafuan akan beri kenyataan dalam masa terdekat PETALING JAYA: Ruzie Abd. Radzak,39, iaitu kakak kepada bintang bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan,23, akan berbincang berhubung kemelut rumah tangga yang dihadapi adiknya itu dengan isteri, pelakon Rita Rudaini Mokhtar,35.Ruzie berkata, selepas perbincangan itu dibuat, Aidil akan membuat satu kenyataan dalam waktu terdekat bagi menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku. Ruzie berkata, Aidil juga meminta agar ahli keluarga bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memburukkan lagi keadaan buat masa ini."Ya, kami sekeluarga akan berbincang tentang perkara ini dalam masa terdekat dan segala kenyataan akan dikeluarkan oleh Aidil sendiri."Aidil ada beritahu kami agar tidak mengulas apa-apa kepada media sebelum berbincang dengannya. Dia juga meminta agar keluarga bersabar dan tidak tertekan dengan masalah ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.Dalam pada itu, Ruzie juga enggan mengulas lanjut tentang beberapa tuduhan yang dikeluarkan oleh Rita Rudaini terhadap keluarga mereka."Kami agak terperanjat dengan berita-berita yang keluar beberapa hari ini, bagaimanapun kami tidak tertekan dan tidak mahu mengulas apa-apa yang boleh mengeruhkan keadaan,"Bagi saya, terpulang kepada dia (Rita Rudaini) untuk berkata apa-apa sekalipun yang dia mahu," ujarnya.Sebelum ini, Ruzie dalam satu kenyataan kepada mStar Online meminta supaya Rita memaafkan keluarganya berhubung pernikahan dia dengan Aidil yang tidak direstui mereka.Bagaimanapun, dalam laporan sebuah akhbar, Isnin, Rita memberitahu keluarga suaminya tidak perlu meminta maaf, sebaliknya menerima dia seadanya dalam keluarga tersebut.Rita dan Aidil telah bernikah pada pertengahan Februari 2008 di Songkhla, Thailand. Perkahwinan itu mendapat tentangan keluarga pihak lelaki.