Shafnie Zainudin KAJANG: Bekas isteri AC Mizal mendakwa pelakon dan bekas pengacara Akademi Fantasia (AF) tersebut mempamerkan kekayaannya di media cetak dan elektronik.Shafnie Zainudin berkata, dia mengetahui tentang peningkatan pendapatan AC Mizal melalui media meskipun jumlah sebenar yang diperoleh tidak pernah dinyatakan secara spesifik. “Dia (AC Mizal) pamerkan di media tentang berapa pendapatan mewah, kereta-kereta mewah, perbelanjaan dan juga perniagaan mewah dia,” kata Shafnie di Mahkamah Rendah Syariah di sini Isnin.Shafnie, 35, yang mendakwa AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 39, dibayar RM5,000 untuk satu episod AF mengakui bahawa perkara itu hanya diberitahu oleh individu yang bekerja di syarikat televisyen.Shafnie juga dilihat begitu tegas mempertahankan pendapatnya bahawa tuntutan insurans dan dana pendidikan yang dituntut untuk dua anak mereka merupakan nafkah asasi yang digariskan oleh Islam.Prosiding mahkamah juga ‘diselitkan’ dengan kata-kata sinis antara Shafnie dan peguam syarie Siti Aishah Din yang mewakili AC Mizal.Antaranya, Siti Aishah mempersoalkan bagaimana Shafnie boleh mengetahui tentang pendapatan AC Mizal jika ia tidak pernah dilaporkan.Shafnie: Cik Aishah, hanya orang yang benar-benar kaya sahaja yang boleh memiliki beberapa kereta mewah. Dari situ, semua orang boleh tahu.Siti Aishah: Janganlah emosi.Siti Aishah juga mempersoalkan pembelian kain jenis sifon yang sering digunakan oleh golongan wanita, pembelian barangan keperluan bayi dan buku bacaan untuk kanak-kanak berusia bawah tiga tahun.Shafnie dengan selamba menjawab: “Sifon itu kain Cik Aishah untuk anak bagi dibuat baju Melayu. Barangan bayi untuk hadiah oleh anak saya buat gurunya yang baru bersalin dan buku mungkin saya beli sekali untuk anak buah saya.”Perbicaraan bagi mengubah nafkah anak yang didengar di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah bersambung 12 Oktober ini.AC Mizal dan Shafnie berkahwin pada 24 Jun 1995 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Shafiq Iman, 13, dan Muhammad Shabil Iman, 10, sebelum sah bercerai pada 17 Oktober 2001.Sementara itu, AC Mizal yang masih menantikan majlis penganugerahan gelaran Datuk tersenyum apabila dipanggil sebagai ‘Datuk’ oleh media.Dia yang ditemani seorang lelaki juga memberitahu, kehidupannya masih sama seperti sebelum menerima gelaran tersebut.“Demam adalah,” katanya.