suria

Balu M.Rajoli Terima Sumbangan RM5,000

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada keluarga pelakon veteran, Allahyarham M.Rajoli yang meninggal dunia pada 17 September lalu.

Timbalan Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Mohammed Mohd. Daud berkata, sumbangan yang diberikan itu adalah sebagai penghargaan Allahyarham yang sudah terbabit dalam bidang seni untuk tempoh yang cukup lama.

"Seperti yang semua sudah sedia maklum, jasa Allahyarham sepanjang pembabitannya dalam dunia lakonan cukup bermakna dan kehilangan beliau memang amat dirasai oleh penggiat seni tanah air.

“Saya menyifatkan beliau seorang individu yang sentiasa ceria dan mesra serta mudah didekati," ujarnya ketika menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham, Hashimah Mohd. Din, Khamis.

Allahyarham M. Rajoli atau nama sebenarnya Mohd. Rajoli @ Mohd. Rajab Mohamed meninggal dunia pada di Hospital Ampang setelah tiga tahun menderita akibat menghidap kanser kelenjar otak.

Menurut Mohammed, sumbangan yang disampaikan itu adalah melalui Tabung Kebajikan Penggiat Seni yang telah ditubuhkan tiga tahun lalu dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM 3 juta untuk tabung berkenaan.

Katanya, tabung tersebut tidak hanya terhad kepada artis sahaja, tetapi mana-mana individu yang terbabit dalam semua cabang seni layak untuk menerima sumbangan atau bantuan melalui tabung berkenaan.

Sementara itu, balu Allahyarham, Hashimah ketika menerima sumbangan tersebut meluahkan rasa syukur dan terharu kerana masih ada lagi pihak yang tetap mengingati jasa suaminya itu.

"Inilah sumbangan pertama yang diterima selepas Allahyarham meninggal dunia dan wang ini akan digunakan untuk perbelanjaan harian dan belanja untuk mengadakan kenduri tahlil," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ahmad Idham Dapat Anak Lelaki

Artikel Lain