suria

Ameng Dakwa Kes Dadah Konspirasi Bekas Isteri

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Spring, Ameng mendakwa kes dadah yang sedang dihadapinya merupakan konspirasi bekas isteri, Zaidah Awang atau A. Aida dan suaminya, Asisten Supritendan Suffian Sulaiman yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kuala Lumpur.

Sulaiman adalah Ketua Bahagian Perhubungan Awam di IPK tersebut.

"Saya tidak puas hati dan anggap kejadian yang menimpa saya adalah satu konspirasi atau pakatan secara sengaja yang dibuat oleh bekas isteri dan suaminya dengan tujuan untuk melihat saya derita.

"Dan ini sekali gus merosakkan kerjaya saya dan juga burukkan nama baik saya," kata Ameng atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail, 42.

Dia berkata demikian kepada Majistret Zaki Asyraf Zubir semasa menjawab pertanyaan peguamnya, Kamarul Zaman Abdul Rahman di Mahkamah Majistret di sini, Selasa.

Ameng hadir bersama isterinya, Sabariah Zakaria yang turut menjadi saksi dalam perbicaraan hari ini, dan anak mereka, Wan Ahmad Haizal, 3.

Dia diarahkan membela diri atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan semasa ditahan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, pada pukul 3.45 pagi, April lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketika memberikan keterangan, Ameng berkata, pada 3 April lalu, Ameng mengakui dia ada menghubungi bekas isteri melalui satu khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk menjemput kedua-dua anak perempuan yang berada di bawah pengawasan A. Aida sempena cuti sekolah.

Bagaimanapun, bekas isterinya itu tidak membenarkannya berbuat demikian dan tidak mengizinkannya untuk berjumpa dengan kedua-dua anak mereka.

Sehari kemudian, Ameng berkata, dia dihubungi Suffian dan mendakwa suami bekas isterinya itu berkata: "Sekiranya saya hubungi isterinya dan ganggu rumah tangga mereka, dia akan memasukkan saya ke dalam penjara."

Pada 6 April lalu, dia telah dihubungi pegawai polis, Inspektor Nor Zahirah dari Balai Polis Setapak memberitahu dia telah menerima satu aduan yang dibuat oleh ASP Suffian dan juga aduan Zaidah.

Aduan tersebut adalah berhubung dengan dakwaan A. Aida bahawa Ameng telah mengugutnya pada 3 April lalu kerana enggan membenarkan penyanyi itu berjumpa dengan dua anak perempuannya yang berusia 14 dan 9 tahun.

Menurut Ameng, dia pergi ke balai polis tersebut untuk memberikan keterangan pada pukul 2.30 petang dan telah disoal siasat oleh Inspektor Nor Zahirah selama kira-kira tiga jam.

Katanya, selepas itu, Nor Zahirah memberitahu dia perlu menjalani ujian saringan air kencing di Balai Polis Sentul.

Ameng berkata dia yakin Suffian yang memberikan arahan bagi dia menjalani ujian saringan kerana dia diberitahu oleh Nor Zahirah dan dia terpaksa mematuhi arahan Suffian yang merupakan orang atasannya.

Dia mendakwa, telah dibawa ke Balai Polis Sentul oleh empat anggota polis dari Balai Polis Setapak untuk ujian tersebut.

Dakwanya lagi, pegawai terbabit yang menjalankan ujian tersebut tetapi dia tidak dapat melihat botol berisi air kencingnya diuji kerana asyik berbual dengan mereka selain dilindungi tubuh badan mereka.

Mahkamah memutuskan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 25 Oktober ini, 8.30 pagi.

Ameng yang merupakan seorang penyanyi sepenuh masa mendirikan rumah tangga dengan A. Aida pada 1995 dan bercerai pada 2000. Hasil perkongsian hidup mereka dua anak perempuan.

Dia kemudiannya berkahwin dengan isteri kedua, Sabariah Zakaria pada 2004 dan memperoleh seorang anak lelaki, Wan Ahmad Haizal, 3.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia