suria

"Anak Lari Takut Balik Rumah Ameng" - A.Aida

A.Aida memberi penjelasan kerana tidak puas hati dengan kenyataan Ameng dalam akhbar Rabu lalu yang menuduhnya mempunyai konspirasi menjatuhkan bekas vokalis Spring itu.
A.Aida memberi penjelasan kerana tidak puas hati dengan kenyataan Ameng dalam akhbar Rabu lalu yang menuduhnya mempunyai konspirasi menjatuhkan bekas vokalis Spring itu.
A.Aida memberi penjelasan kerana tidak puas hati dengan kenyataan Ameng dalam akhbar Rabu lalu yang menuduhnya mempunyai konspirasi menjatuhkan bekas vokalis Spring itu.

KUALA LUMPUR: Bekas isteri Ameng (Spring) iaitu A.Aida mendedahkan salah seorang anak mereka pernah lari dari rumah tetapi sempat diselamatkan oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis dalam kejadian enam tahun lalu.

A.Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang,39, berkata, anak sulung mereka, Wan Aleesya yang sekarang berusia 14 tahun takut untuk pulang ke rumah kerana mendakwa pernah dipukul.

“Ameng gagal menguruskan anak sehingga anak kami pernah lari dari rumah ketika saya membenarkan dia menunaikan haknya untuk menjaga anak. Nasib baik ada orang jumpa anak saya merayau-rayau seorang diri sebelum mereka menolongnya menghantar ke balai polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujar A.Aida.

Produser A.Aida Production itu berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media tergempar yang diadakan di Restoran Rebung, Bangsar di sini petang, Khamis.

Sidang media itu dibuat berikutan rasa tidak puas hati A.Aida terhadap Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail,42, yang mendakwa A.Aida dan suaminya, Asisten Superintenden Suffian Sulaiman melakukan konspirasi untuk menjatuhkan kerjayanya seperti dilaporkan akhbar, Rabu.

Mahkamah Majistret di sini pada Selasa lalu memerintahkan Ameng membela diri atas tuduhan memasukan dadah ke dalam badan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda tidak lebih RM5,000 jika sabit kesalahan.

A.Aida yang hadir bersama peguamnya Zulkifli Yong Azmi berkata, berikutan kejadian yang menimpa anaknya itu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, Subang Jaya, Selangor telah menasihatinya supaya tidak lagi membenarkan Ameng menjaga anak mereka kerana bimbang masalah serupa berulang.

Bagaimanapun kata Aida, sebagai seorang ibu dia memahami hati seorang bapa dan tidak menghalang untuk Ameng bertemu dengan anak-anak mereka.

Katanya, beberapa minggu sebelum Ameng ditahan pada 4 April lalu, Ameng telah mengambil dua anak mereka termasuk Wan Natasha,9, untuk membawa pulang ke Terengganu.

“Saya tidak halang Ameng bertemu anak-anaknya kerana anak dan bapa tidak boleh dipisahkan. Tetapi saya terkejut apabila Ameng selalu membuat tuduhan kononnya saya tidak memberi kebenaran untuk dia bertemu anak. Itu adalah satu pembohongan,” katanya.

Tambah Aida, selepas berpisah dengan Ameng pada tahun 2002, Aida tidak pernah menuntut sebarang nafkah yang sepatutnya diberikan oleh Ameng kepada dua anak mereka kerana memahami Ameng mempunyai masalah kewangan.

Tetapi apabila dia selalu membuat dakwaan yang bukan-bukan termasuklah menuduh A.Aida dan suami mempunyai konspirasi untuk menjatuhkannya, dia tidak dapat berdiam diri lagi.

Sehubungan itu kata A.Aida dia dan peguamnya sudah bersetuju untuk mengambil tindakan terhadap Ameng iaitu akan mengemukakan saman malu dan menuntut nafkah anak.

“Saya dah bagi peluang kepada Ameng tetapi dia masih memburuk-burukkan saya, jadi, saya terpaksa bertindak dengan mengemukakan saman malu dan tuntutan nafkah anak,” katanya.

Aida menambah, tujuan dia membuat laporan polis terhadap Ameng pada April lalu tiada kena mengena dengan anak tetapi ugutan jenayah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan Ameng termasuklah mendakwa mempunyai pistol untuk menembak Aida dan suami.

Bagaimanapun semasa ditahan, polis mendapati Ameng positif dadah sehinggalah dia didakwa di mahkamah atas kesalahan tersebut.

Kata Aida lagi, dia dan suaminya yang bertugas sebagai Ketua Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur tidak pernah campur tangan dalam siasatan polis sebaliknya segala hukuman dan juga keputusan adalah di atas bidang kuasa mahkamah.

Bagaimanapun katanya, jika Ameng merasakan ada konspirasi untuk menjatuhkannya, penyanyi itu boleh membuat laporan polis dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Sebenarnya selama ini saya tiada niat untuk membuat pendedahan ini kerana ia berkaitan keluarga tetapi apabila Ameng tidak habis-habis dengan tuduhannya itu, maka saya terpaksa tampil untuk membela diri,” katanya.

Sementara itu peguam A.Aida iaitu Zulkifli berkata pihaknya akan menyediakan dokumen yang berkaitan saman malu dan juga tuntutan nafkah sebelum difailkan di mahkamah.

Ameng dan A.Aida berkahwin pada tahun 1995 dan berpisah tujuh tahun kemudian.

Ameng kemudian berkahwin dengan Sabariah Zakaria,40, pada tahun 2004 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Wan Amar Haikal yang kini berusia tiga tahun.

Mahkamah menetapkan 25 Oktober ini untuk pihak pembelaan dan pendakwaan mengemukakan hujahan bertulis mengenai kes Ameng itu.

Artikel Sebelum

Yalal Chin Selamat Dikebumikan

Artikel Berikut

Artikel Lain