Shaheizy SamPELAKON Shaheizy Sam Abdul Samad, 28, atau mesra disapa Sam mengakui tumpuan yang diberikan untuk membawa watak lelaki terencat akal iaitu Arman dalam filem terbaru Sekali Lagi... ternyata memberi kesan kepada dirinya sehingga ke luar lokasi penggambaran.Menurut Sam, gara-gara penghayatan yang diberikan terhadap watak seperti budak-budak itu, Sam terbawa-bawa reaksi aneh iaitu bercakap secara pelat apabila dia berbual selepas tamat penggambaran. "Keadaan saya bercakap secara pelat ini mula dikesan oleh ahli keluarga dan rakan-rakan. Apabila saya berbual dengan mereka, saya akan terbawa-bawa bercakap secara pelat seperti kanak-kanak."Perubahan ini mula berlaku sejak terlibat dalam filem ini. Saya cuba memberikan tumpuan dan penghayatan sepenuhnya untuk watak lelaki terencat akal itu sehingga tidak sedar ia memberi kesan pula kepada saya di luar lokasi penggambaran."Bagaimanapun, ia satu pengalaman yang yang paling menarik sepanjang saya bergelar pelakon. Keadaan tersebut bukanlah sesuatu yang serius pun cuma agak pelik juga bila difikirkan," katanya yang ditemui di lokasi penggambaran filem itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.Mengulas tentang cabaran dalam menggalas watak Arman, Sam berkata watak tersebut memang mencabar kemampuannya sebagai seorang pelakon. Dia bukan sahaja perlu mengawal gerak-geri dan pertuturannya seperti seorang yang terencat akal dan kebudak-budakan, malah watak itu juga menuntut Sam untuk bermain dengan ekspresi wajah dan emosi dalaman."Saya akui watak ini memerlukan fokus saya pada segala aspek termasuk emosi, ekspresi wajah dan pergerakan tubuh. Memang bukan mudah sebenarnya sebab saya perlu sentiasa peka dengan cara bertutur dan gerak-geri seperti seorang budak-budak."Tapi mujurlah saya mempunyai anak saudara di rumah yang berumur sekitar 9 tahun. Jadi saya banyak memerhatikan gerak-geri dan cara pertuturannya. Dari situ, saya tiru dan kembangkan lagi gaya budak-budak itu untuk menjayakan watak Arman," katanya.Diterbitkan oleh Metrowealth Pictures Sdn Bhd, filem arahan Hashim Rejab ini turut menampilkan gabungan muka baru dan lama seperti Lisa Surihani, Mia Sara Nasuha, Kartina Aziz, Bront Palarae dan Bob Lokman.Filem yang menjalani penggambaran di sekitar Lembah Kelang selama 25 hari ini dijangka menjengah pawagam pada tahun 2011.