PETALING JAYA:Pelakon jelita, Farahdhiya (gambar) mengakui sudah lama tidak berhubung dengan rakan baiknya Zizie Izette sejak pelakon itu mendirikan rumah tangga dengan Datuk Bung Mokhtar.Menurut Farahdhiya, dia tidak tahu di mana silapnya sehingga persahabatan baik mereka tiba-tiba renggang sehingga tiada tanpa sebarang khabar berita. "Kami memang kawan rapat, masa awal-awal pembabitan saya dalam dunia lakonan dia orang pertama yang beri sokongan. Watak-watak yang sukar saya bawa, saya akan rujuk dan minta pendapatnya terlebih dahulu."Tapi sejak kebelakangan ini selepas dia berkahwin kami seperti terputus hubungan. Saya sendiri tidak tahu apakah silapnya sehingga hubungan kami tidak seperti dahulu. Kami tidak pernah bergaduh atau berselisihan faham," katanya.Jelas Farah, kali terakhir dia berhubung dengan isteri kepada Ahli Parlimen Kinabatangan itu pada majlis rumah terbuka yang dianjurkan pasangan suami isteri tersebut pada 25 September lalu."Lama kami tidak berhubung, tapi semasa majlis rumah terbuka mereka itu dia ada mengirim Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) menjemput saya hadir. saya tidak pergi sebab ketika itu saya sudah ada program lain," jelasnya.Farah akui sebagai seorang sahabat baik, dia begitu merindui persahabatan mereka, namun dia faham tanggungjawab Zizie kini lebih tertumpu kepada keluarga yang baru dibinanya."Jauh di sudut hati saya memang saya rindukan dia. Tapi saya faham dia mempunyai tanggungjawab dan komitmen terhadap keluarganya," ujarnya.Dalam pada itu, ketika ditanya tentang hubungannya dengan pelakon Norish Karman yang sebelum ini dikatakan dingin kerana kontroversi mengenai gosip percintaan pelakon wanita itu dengan abangnya Mohamed Luqman berkata, dia tiada masalah mengenai perkara itu."Saya tidak ada masalah dengan Norish, saya tahu dia berkawan dengan abang saya. Itu adalah hal peribadi mereka dan saya tidak masuk campur."Memang dahulu kami ada perselisihan faham tapi bukan disebabkan saya tidak senang dia berkawan dengan abang saya. Tapi sekarang kami sudah berbaik dan sering ke majlis-majlis hiburan bersama," katanya.