suria

Kenapa Farid Terus Bersuara? - Syamsul Yusof

Syamsul Yusof keliru dengan pertikaian Farid Kamil terhadap kemenangannya.
Syamsul Yusof keliru dengan pertikaian Farid Kamil terhadap kemenangannya.
Syamsul Yusof keliru dengan pertikaian Farid Kamil terhadap kemenangannya.

PETALING JAYA: Bertitik-tolak daripada kenyataan pelakon Farid Kamil yang mempertikaikan kemenangan Syamsul Yusof sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), baru-baru ini, pengarah muda itu menegaskan bahawa mereka tiada sebarang isu peribadi sehingga ia perlu diperbesar-besarkan.

Menurut Syamsul yang dihubungi mStar Online, Khamis, sebagai rakan dalam industri yang sama, dia sebenarnya tidak pasti mengapakah Farid perlu mempersoalkan kemenangannya apabila keputusan sudah termaktub.

"Saya pun tidak tahu jika dia ada sebarang rasa tidak puasa hati atau marah dengan saya? Setahu saya, kami memang tiada isu peribadi. Jadi, apabila saya diberitahu bahawa Farid menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap kemenangan saya, sejujurnya perkara itu benar-benar mengelirukan," katanya.

Menyangkal dakwaan kononnya mereka mempunyai masalah peribadi, Syamsul berkata, sekalipun dia mengetahui Farid mula menjalin hubungan dengan bekas kekasihnya aktres Diana Danielle selepas hubungan mereka putus pada hujung 2008, dia sama sekali tidak pernah mencampur-adukkan urusan peribadi dengan kerja.

Malah, ketika mereka bertiga terlibat dalam filem Evolusi KL Drift 2 tahun lalu, Syamsul sama sekali tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama.

"Selepas saya putus hubungan dengan Diana sebelum ini, saya memang sudah tahu Farid dan Diana menjadi semakin intim. Malah, ketika kami terlibat dalam filem Evolusi KL Drift 2 pun, saya tiada masalah mengenai hubungan mereka kerana kami cukup profesional.

"Jadi, saya tidak faham mengapa dia (Farid) perlu berterusan menyuarakan itu dan ini tentang saya sedangkan kami tidak ada sebarang hal berbangkit," jelasnya.

Tambah Syamsul, selepas dia dimaklumkan tentang pertikaian yang disuarakan oleh Farid itu, dia bagaimanapun tetap menghantar kiriman Khidmat Ringkas (SMS) kepada Farid bagi mendapatkan penjelasan.

"Selepas saya menang pada malam itu, saya ada menghantar SMS kepadanya agar dia tidak membesarkan hal itu kerana bagi saya apa yang pernah berlaku sebelum ini tidak perlu diperbesar-besarkan.

"Saya ada nyatakan yang tidak mahu bergaduh dan terbuka untuk menjernihkan keadaan semula. Malangnya, dia langsung tidak membalas SMS saya.

"Jadi, apabila isu ini dihebah-hebahkan saya sendiri pun buntu dan tidak tahu apa sebenarnya masalah yang wujud di antara kami. Setahu saya, kami tiada sebarang masalah peribadi," katanya.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan penjelasan Farid berhubung isu ini menemui kegagalan apabila aktor itu tidak menjawab panggilan.

Artikel Berikut

Artikel Lain