PETALING JAYA: Penyanyi Shamrin,45, (gambar) dari kumpulan Fotograf meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira pukul 6.40 petang, Khamis, ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan dengan sebuah syarikat insurans di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.Allahyarham yang popular dengan lagu Di Alam Fana Cinta pada era 90-an mengadu kekejangan otot semasa bermain bola sepak sebelum terduduk di atas padang. Rakannya, Johan Aziz yang turut menyertai perlawanan mewakili kumpulan artis berkata, Shamrin atau nama sebenarnya Mohd. Shamrin Abd. Samad, sebelum itu mengadu kepenatan kerana menghadiri pertunjukan pentas malam sebelumnya.“Ketika dia jatuh, kami terus membawa dia ke Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru dan disahkan doktor dia meninggal dunia,” katanya.Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.Shamrin yang berasal dari Kajang, Selangor telah melibatkan diri dalam lapangan muzik secara serius bersama kumpulan Fotograf yang menampilkan album pertama berjudul Iramanya Bergetar pada tahun 1989. Setelah kejayaan album itu mereka menghasilkan lima buah album penuh 7:30 Psikosis (1990) , Fotograf 92 (1992), Fantasi (1994), Fokus (1995) dan Juara Mimpi (1997).Fotograf pernah memenangi Lagu Pop Terbaik, pertandingan Juara Lagu 1992 untuk lagu Di Alam Fana Cintamu. Antara lagu yang mempopularkan mereka ialah Nafas Kekasih , Asmara Gerhana, Panah Tak Bermata, Aku Yang Kecewa, Salam Buat Juwita, Mengejar Bayangan dan Luka Seribu Rindu.Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Jazriatul Akma Abu Saman,29, bersama tiga orang anak iaitu Akmal Danish,5, Akmal Shamim, 18 bulan dan Siti Najwa,17, iaitu anak daripada perkahwinan terdahulu.Jazriatul Akma Abu Saman sekarang ini sarat mengandung sembilan bulan.Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam SS22, USJ Subang Jaya, Selangor sebelum solat Jumaat.