suria

Farah Diana Tak Rasa Tersisih Selepas Bertudung

Farah manis bertudung. - Foto oleh RAJA FAISAL HISHAN
Farah manis bertudung. - Foto oleh RAJA FAISAL HISHAN
Farah manis bertudung. - Foto oleh RAJA FAISAL HISHAN

SHAH ALAM: Membuat keputusan untuk memakai tudung pada Julai lalu tidak membuahkan perasaan negatif kepada penyanyi Farah Diana Anuar, 25.

Malah dia semakin selesa dengan penghijrahan tersebut. Tidak pernah terlintas perasaan akan disisihkan atau timbul persoalan diskriminasi.

“Saya rasa ‘ok’ dan tidak perlu bimbang setelah memakai tudung dalam industri seni ini. Setakat ini, saya rasa alhamdulillah, semuanya berjalan dengan mudah dan baik,” kata Farah kepada mStar Online.

Farah akui, kebanyakan fesyen yang diperagakan kini perlu bersesuaian dengan imej muslimah. Jadi, dia menjadikan buku dan Internet untuk mencari imej yang sesuai.

“Saya tahu, apabila bertudung saya perlu menjaga imej dengan baik. Jadi, saya perlu memikirkan batasan dalam berpakaian. Saya rasa tiada masalah kerana sebelum ini saya tidak pernah memakai pakaian seksi dan terdedah.

“Alhamdulillah, ada juga pihak penaja seperti butik muslimah Hajaba yang ingin menaja pakaian saya,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua ini terfikirkan banyak idea untuk stail bertudung selepas ini.

“Saya sedang merancang untuk bekerjasama dengan mana-mana pereka fesyen untuk menghasilkan tudung saya.

“Setakat ini, saya belum berjumpa dengan pereka fesyen yang secocok untuk bekerjasama. Mungkin saya akan mencuba Qudyn,” kata pengacara program Rasa Halal Orient di Astro Oasis ini.

Penyanyi lagu Tangisan Dalam Kerinduan dan Antara Dua ini telah mengembara ke Kemboja, Hong Kong dan Taiwan untuk menjayakan penggambaran program tersebut.

Kini, program ini bakal memasuki musim kelima dan kemungkinan akan menonjolkan budaya masyarakat Islam di Vietnam pula.

Menyentuh tentang perkembangan lain, Farah turut akan mengacara sebuah program televisyen di TV Al-Hijrah dan mengendalikan program Nasi Lemak Kopi O di TV9.

Sekali-sekala pada hujung minggu, dia akan sibuk dengan persembahan nyanyian dan merangka single terbaru.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain