suria

Kumpulan Sofaz Tukar Nama 'Sofazr'

Anggota kumpulan Sofazr (dari kiri) Shah, Wan, Fairuz, Rodie, Zimi dan Aremeer pada majlis pelancaran album terbaru mereka di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, Isnin. - Foto The Star oleh KEVIN TAN
Anggota kumpulan Sofazr (dari kiri) Shah, Wan, Fairuz, Rodie, Zimi dan  Aremeer pada majlis pelancaran album terbaru mereka di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, Isnin. - Foto The Star oleh KEVIN TAN
Anggota kumpulan Sofazr (dari kiri) Shah, Wan, Fairuz, Rodie, Zimi dan Aremeer pada majlis pelancaran album terbaru mereka di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, Isnin. - Foto The Star oleh KEVIN TAN

KUALA LUMPUR: Selepas tujuh tahun menggunakan nama Sofaz, kumpulan yang dianggotai oleh enam anak muda ini tampil dengan nama baru iaitu Sofazr bersempena dengan kemunculan album terbaru mereka, Maaf Dari Hati Mohd Atlas.

Menurut gitaris kumpulan itu Zimi, selepas kontrak mereka selama tujuh tahun di bawah label Suria Records berakhir baru-baru ini, kumpulan yang dianggotai oleh Aremeer (vokalis), Zimi (gitar kedua), Shah ( gitar utama), Wan (dram), Fairuz (bass) dan Rodie (keyboard) itu menganggap sudah tiba masanya untuk mereka berdikari dan menguruskan kerjaya seni di bawah label sendiri.

Justeru, penjenamaan semula kumpulan itu disifatkan bertepatan pada waktunya bagi meraikan kemunculan terbaru mereka di bawah label Global Records.

"Keputusan untuk tampil dengan nama baru ini dibuat atas persetujuan semua ahli kumpulan. Seperti yang semua sedia maklum, nama Sofaz diilhamkan hasil gabungan huruf pertama nama setiap ahli kumpulan kami.

"Sebenarnya, sudah lama kami ingin mengubah nama kumpulan ini kepada Sofazr kerana sejak album kedua lagi pemain keyboard iaitu Rodie sudah menyertai kami.

"Namun, ketika itu kami masih mempunyai kontrak bersama Suria Records. Bagi mengelakkan kekeliruan, kami kekalkan nama kumpulan ini sehinggalah kontrak tamat baru-baru ini.

"Memandangkan kini kami mula bergerak sendiri di bawah label baru, keputusan untuk menggunakan nama baru ini adalah tepat pada masanya," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran album tersebut di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, Isnin.

Album yang menelan kos penerbitan sebanyak RM50,000 itu diterbitkan oleh anggota Sofazr sendiri bersama seorang lagi rakan niaga mereka.

Memuatkan sepuluh lagu baru antaranya Terasa Di Syurga, Jiwa Kacau, Kenapa Aku Mencintaimu dan Maaf Dari Hati, kesemua lagu dalam album kelima ini dihasilkan sepenuhnya oleh anggota kumpulan itu dengan menggunakan nama pena Mohd Atlas yang turut dipilih sebagai simbolik kepada judul album itu.

Album yang masih mengekalkan genre pop dan rock moden itu bakal berada di pasaran pada akhir Disember ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain