Zizan meneruskan karier seninya seperti biasa selepas dihambat kontroversi meminta bayaran RM40,000 daripada syarikat produksi teater Muzikal Tun Mahathir musim kedua. - Foto oleh ART CHENPETALING JAYA: Pelakon Zizan Nin tidak menganggap kontroversi yang berlaku terhadapnya sejak kebelakangan ini sebagai batu penghalang untuk dia meneruskan karier dalam industri seni.Malah, pelakon yang sedang popular menerusi drama Putera Katak ini semakin rancak mengatur tawaran lakonan yang bagaikan ‘pisang goreng panas’. Sekarang ini, dia sedang berlakon filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki dan bakal memasuki penggambaran telefilem Ribel untuk RTM serta beberapa buah drama rantaian untuk Astro.“Saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan ini walaupun selama ini banyak kontroversi yang telah saya lalui,” katanya.Terbaru, dia dihambat kontroversi apabila syarikat pengurusannya Aquila Emas Sdn Bhd meminta bayaran RM40,000 sebagai cara bagi mengelak Zizan terlibat dalam pementasan teater Muzikal Tun Mahathir yang akan dipentaskan di Istana Budaya dari 21 hingga 30 Januari tahun hadapan.Menurut Zizan, selepas kontroversi yang melanda, Zizan tidak pernah memikirkan untuk menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya akur dengan apa yang berlaku dan menerima dengan hati terbuka.“Saya mahu meletakkan titik noktah tentang isu RM40,000 ini dan lebih memikirkan tentang perancangan saya pada tahun 2011 supaya kerjaya dan lakonan saya bertambah mantap.“Imej kami mungkin tercalar tetapi biarlah orang nak kata apa,” ujarnya yang tidak pernah lokek dengan senyuman.Cuba meredakan keadaan dan mahu meleraikan kekusutan yang berlaku, Zizan dengan merendah diri tetap mengingati dan mengucapkan terima kasih kepada penerbit teater itu, Siti Rohayah Atan dan pengarah, Rosminah Tahir.Di sebalik insiden yang berlaku, Zizan turut bersyukur kerana ramai peminat yang seolah-olah memahami keadaan yang berlaku dan tidak terus-menerus menghukumnya.Dia akui kebanyakan peminat di laman sosial Facebook dan Twitter lebih banyak bertanyakan tentang perkembangan kariernya berbanding kontroversi yang berlaku.