suria

AC Mizal Tolak Tawaran Lain Demi Muzikal Tun Mahathir 2

AC Mizal bakal menjayakan teater Muzikal Tun Mahathir 2 sebagai Aziz. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
AC Mizal bakal menjayakan teater Muzikal Tun Mahathir 2 sebagai Aziz. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
AC Mizal bakal menjayakan teater Muzikal Tun Mahathir 2 sebagai Aziz. - Foto oleh SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Pelakon Datuk AC Mizal mempunyai dua sebab mengapa beliau sanggup menolak tawaran teater dan filem lain demi menjayakan watak Aziz dalam teater Muzikal Tun Mahathir (MTM) musim kedua.

Teater yang turut dilakonkan oleh Elly Mazlein, Esma Daniel, Ezany Nizariff, Misha Omar dan Sarimah Ibrahim tersebut akan dipentaskan di Istana Budaya pada 21 hingga 30 Januari 2011.

Pertama, AC tidak malu mengaku amat meminati bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan yang kedua kerana teruja berlakon di pentas Istana Budaya.

Namun begitu perasaannya bercampur baur antara kecewa sedikit dan bertuah apabila mendapat tahu tidak berpeluang membawakan watak idolanya itu sebaliknya watak rakan kepada Tun Mahathir bernama Aziz.

Bagaimanapun, segala-galanya berbalik kepada komitmen setiap individu yang bekerja dalam teater tersebut.

“Saya cuma mewarnakan lagi teater ini. Alhamdulillah, saya menganggap tawaran berlakon dalam teater ini pada bulan lalu sebagai satu anugerah yang besar.

“Setakat ini, saya belum memulakan latihan. Tetapi setelah meneliti skrip yang diberikan, saya perlu menyanyikan sebuah lagu dalam sebuah babak.

“Walaupun muncul seketika, saya tetap akan melakukan yang terbaik. Harap-harap Tun Mahathir dapat menonton persembahan ini nanti,” katanya yang turut menyertai kelab penyokong Tun Mahathir.

Bercerita lebih lanjut tentang peranan Aziz dalam teater tersebut, lelaki itu merupakan seorang yang rapat dan sentiasa bersama-sama Tun Mahathir dalam kerjaya politik.

“Apa sahaja yang Tun Mahathir cadangkan, mesti dia akan lakukan. Dalam teater ini, saya perlu melakonkan babak menampal poster yang lebih kepada corak komedi.

“Saya akan cuba menampilkan kelainan dalam lakonan saya dengan aksi bersahaja dan wajib adlib dalam dialog yang dituturkan,” ujarnya yang menganggap teater ini sebagai salah satu mercu tanda agar diingati oleh semua.

Tambahnya, MTM2 merupakan teater ketiganya di Istana Budaya selepas teater Muzikal Puteri Gunung Ledang dan Muzikal Cuci.

Dalam perkembangan lain, AC masih terikat sebagai salah seorang wajah eksklusif Astro dalam bidang pengacaraan dan melakukan bisnes korporat.

Pada tahun depan, AC akan mengacara beberapa program televisyen terbitan Astro.

Selain itu, dia akui belum dipanggil untuk menghadiri majlis istiadat pengurniaan gelaran Datuk daripada Istana Pahang.

Bagaimanapun, pihaknya telah pun menerima surat pengurniaan darjah kebesaran peringkat kedua iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada bulan Ramadan lalu sekaligus dibenarkan untuk menggunakan gelaran tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain