KUALA LUMPUR: Finalis program Imam Muda, Mohd Taufek Mohd Noh, 27 (gambar) mengakui semakin meminati bidang pengacaraan selepas mengendalikan dua buah program keagamaan iaitu, Musafir dan Famili Sarjana.Menurut Taufek, bidang tersebut juga boleh menjadi salah satu medium untuk menyebarkan dakwah Islam. “Saya suka bidang ini dan sedang merancang untuk pergi lebih jauh lagi jika diberi peluang. Dalam masa terdekat ini juga saya akan memasuki kelas pengacaraan.“Pada saya berdakwah bukan sahaja melalui ceramah-ceramah bebas tetapi juga melalui medium ini. Malah ia lebih meluas kepada semua golongan,” ujarnya.Taufek yang juga seorang pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi tempatan mengakui sedang mencari peluang untuk menjadikan bidang ini sebagai kerjaya barunya.“Jika ada rezeki dalam bidang ini dan banyak tawaran yang datang saya mungkin akan terus fokus dan terpaksa meninggalkan kerjaya saya sebagia pensyarah.“Buat masa ini saya mengambil cuti selama dua bulan dan sedang dalam perancangan untuk berpindah ke Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan kerja saya di sini,” ujarnya yang menetap di Kota Tinggi, Johor.Bercerita kali pertama menjadi pengacara program kuiz Famili Sarjana, dia mengakui banyak melakukan perbincangan bersama pasangan pengacaraannya Rini sebelum rakaman dilakukan.“Kami masing-masing masih baru, jadi sebelum memulakan rakaman kami akan berbincang dan buat latihan terlebih dahulu.“Rini seorang yang ceria jadi dia boleh bawa suasana ceria dalam program ini. Mudah untuk membina keserasian antara kami dan mengendalikan rancangan ini dengan baik,” ujarnya.Dalam pada itu, kata Taufek program berbentuk kuiz keagamaan itu membolehkannya berkongsi ilmu agama dengan peserta dan penonton secara lebih santai dan dengan pendekatan yang lebih mudah diterima.Program terbitan Astro Oasis, Famili Sarjana akan bermula pada 1 Januari pukul 7.30 malam.