Syed Aiman ketika majlis makan tengah hari sambutan Hari Krismas bersama pemilik Lord's Tailor iaitu Loh Lee Lee dan Robert Loh di butik tersebut di Bangsar Shopping Centre, Jumaat. - Foto oleh RAYMOND OOIKUALA LUMPUR: Aktor Syed Aiman mengaku terpaksa membahagikan kariernya kepada dua demi menunaikan tanggungjawab kepada keluarga.Menurut Aiman, sejak berkahwin dengan penyanyi Linda Rafar, dia terpaksa memperlahankan kariernya dalam bidang lakonan kerana dalam masa yang sama dia sibuk mengusahakan perniagaan sendiri sejak dua tahun lalu. “Kalau dulu, saya selalu memberikan tumpuan kepada bidang lakonan, tetapi sekarang saya perlu seimbangkan karier seni ini setelah bergelar seorang suami dan bapa.“Saya tidak meninggalkan kerjaya ini terus-menerus sebaliknya memperlahankan penerimaan tawaran berlakon. Sebab itu muka saya jarang keluar tv,” katanya kepada mStar Online, di butik Lord’s Tailor, Bangsar Shopping Centre, di sini, Jumaat.Di sebalik penerimaan lakonan, Aiman lebih banyak menerima tawaran telefilem berbanding drama rantaian kerana faktor masa.Bukan bermakna dia menolak terus, sebaliknya bapa kepada Syed Rezaqqib berusia dua setengah tahun ini akan meneliti jadual kerjanya terlebih dahulu.Jika ada kelapangan dan tidak menganggu kerjanya yang lain, baru Aiman akan menerima tawaran untuk berlakon drama rantaian.“Kalau berlakon drama episod, saya perlu meneliti jadual terlebih dahulu dengan sebaik mungkin kerana ia memakan masa yang lama sehingga berbulan-bulan. Sebaliknya kalau saya berlakon telefilem, dalam masa seminggu dah habis.“Jadi, buat masa sekarang ini saya lebih suka berlakon telefilem berbanding drama episod,” ujarnya yang sedang berlakon telefilem Keranamu terbitan Astro.Dia melakonkan watak seorang anak orang kaya yang menjadi jahat tanpa disedari disebabkan selalu bertelagah pendapat dengan abangnya.Selain itu, dia baru selesai penggambaran telefilem Teksi terbitan RTM yang berkisarkan tentang rasuah.Sebelum ini, wajah Aiman pernah muncul menerusi drama rantaian R & R dan telefilem Doa Kamalia.