suria

Farah Asyikin Enggan Komen Kekasih Baru

PETALING JAYA: Penyanyi Farah Asyikin Zulkifli, 31, enggan memberi komen tentang kehadiran seorang lelaki yang sentiasa bersamanya sejak kebelakangan ini.

Kedua-dua mereka turut kelihatan pada majlis perkahwinan penyanyi Elyana di Dutches Place, Ampang, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Farah enggan memberi komen mengenai lelaki yang dikatakan kekasih barunya itu.

"Maaf, saya enggan beri komen. Saya lebih selesa untuk tidak menghebohkan hal peribadi saya lagi.

"Berdasarkan pengalaman yang dilalui saya mahu hal peribadi saya tidak dihebohkan. Kalau orang tahu saya sudah ada kekasih atau tidak, tahulah. Saya tidak kisah.

"Cuma saya tidak mahu lagi mengumumkan apa-apa perhubungan cinta melainkan saya benar-benar akan berkahwin.

"Saya tahu ada yang suka bila saya bercinta dan ada yang tidak. Bagi yang tak suka, macam-macam doa yang saya akan terima. Cukuplah dengan dugaan yang saya terima sebelum ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Tambah Farah, memandangkan dia tahu dirinya sering melalui pelbagai dugaan, penyanyi yang popular dengan lagu Hello itu akan memastikan kisah-kisah peribadinya tidak akan diperkatakan lagi.

"Masalah terhadap saya terjadi satu persatu. Selain hal-hal peribadi, kerjaya saya juga sukar untuk kukuh.

"Tapi saya terpaksa telan itu semua kerana saya percaya itu adalah takdir. Mungkin ini sebagai dugaan dan ujian tuhan yang perlu saya lalui. Saya tidak ada pilihan melainkan menerimanya dengan redha.

"Selain itu, segala perancangan saya untuk tahun ini juga tidak menjadi. Antaranya seperti projek lagu single saya bersama arwah Shamrin (Fotograf), Kamu Aku Satu, juga tersangkut.

"Bagaimanapun, lagu tersebut akan saya masukkan untuk album terbaru saya," katanya yang sedang menyiapkan album baru pada tahun depan.

Farah kini sedang bekerjasama dengan beberapa komposer seperti Taja (Meet uncle Hussein) dan Omar K yang berkonsepkan pop rock dan jazz.

Sementara itu, selain projek album terbaru, Farah turut membuat perancangan bersama kakaknya untuk mengadakan program perkhemahan khas buat gadis remaja, It's A girl Thing, pada awal tahun depan.

Program perkemahan tersebut diadakan untuk berkongsi pengalaman yang dilaluinya bersama gadis remaja yang mempunyai masalah peribadi serta kerjaya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut