suria

Amyza Ganti Misha Dalam 'Sehati Sejiwa'

Amyza Adnan
Amyza Adnan
Amyza Adnan

PETALING JAYA: Pelakon Amyza Aznan mengambil alih tugas daripada penyanyi Misha Omar sebagai pengacara program Sehati Sejiwa menerusi saluran RTM1 sejak 2 Januari lalu.

Pemilihan Amyza sebagai pengacara baru program tersebut kerana kepetahannya berkomunikasi di mana dia serta suaminya, Khairil Izhar, pernah menghidupkan rancangan itu sewaktu menjadi tetamu undangan pada 24 Jun tahun lalu.

Ternyata penampilan pertama Amyza minggu lalu berjaya mencuri tumpuan penonton bersama tetamu undangan Bienda dan suaminya, Kamarul.

Mereka menceritakan tentang percintaan, perkahwinan dan kemanisan berumah tangga. Turut di undang sama dalam rancangan itu pakar motivasi Dr. Ahmad Lothfi.

Kemunculan Amyza Aznan pastinya mengundang persepsi positif orang ramai yang sebelum ini banyak mengemukakan cadangan supaya program ini dilihat lebih sesuai diacarakan oleh pengacara yang sudah berkahwin kerana isu yang di ketengahkan setiap minggu berkaitan alam rumah tangga.

Musim baru Sehati Sejiwa kini bertukar waktu siarannya iaitu setiap Ahad, pukul 2.00 petang dan pastinya ia membuka ruang kepada lebih ramai lagi penonton berpeluang menyaksikan program terbitan RTM itu yang sebelum ini bersiaran pada hari Rabu pukul 3 petang.

Program temu bual istimewa khusus untuk tontonan seisi keluarga itu bukan sekadar menampilkan pasangan selebriti bercerita mengenai hubungan perkahwinan yang dimeterai mereka malah turut berkongsi saat sukar berdepan dengan masalah dalam melayari bahtera berumah tangga.

Selain itu, Sehati Sejiwa turut diserikan dengan pengisian klip video artis jemputan, sesi temu bual berkaitan kehidupan berumah tangga, keistimewaan pasangan masing-masing, aktiviti masa lapang serta kegiatan seni yang dilakukan pasangan tetamu undangan.

Menariknya program ini, peminat setia pasangan selebriti undangan yang di undang berpeluang membuat panggilan telefon di studio untuk berbual dengan mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain