Pengarah filem Bade Hj Azmi masih mencari filem terbaik untuk dihasilkan. - Foto The Star oleh RAJA FAISAL HISHANPETALING JAYA: Pengarah filem popular Bade Haji Azmi mengakui buntu untuk mencari filem yang paling sesuai untuk dihasilkan pada hari ini.Jelas suami kepada pengarah Erma Fatima ini, selera penonton yang menggemari filem-filem ringan, komedi dan seram adalah bertentangan dengan kecenderungannya sebagai pengarah yang lebih menggemari genre drama. Justeru itu, selepas kali terakhir muncul dengan filem Maut (2009), Bade masih lagi tercari-cari genre dan jalan cerita yang terbaik agar menepati selera penonton."Bukan saya tidak mahu buat filem, cuma sampai ke hari ini saya masih tercari-cari filem apa yang paling sesuai untuk dihasilkan."Apa yang saya perhatikan, kebanyakan filem Melayu yang berjaya di pawagam hari ini adalah filem komedi, ringan, seram ataupun aksi. Saya pula lebih cenderung untuk menghasilkan filem-filem drama dan berat."Susah sebenarnya untuk cari filem yang saya suka dan pada masa yang sama mampu menarik penonton ke pawagam," katanya yang ditemui pada tayangan perdana telefilem Dendam Maya di Damansara, baru-baru ini.Menyentuh perkembangan terbaru, Bade yang lebih cenderung menghasilkan telefilem dan drama televisyen buat masa ini bakal muncul dengan telefilem berjalur psiko/ ngeri berjudul Dendam Maya.Telefilem yang menampilkan gandingan pelakon berpengalaman dan baru itu membariskan Nasha Aziz, Vanidah Imran, Aida Aris, Wan Sharmila dan Azhan Rani.Dendam Maya berkisar pada kehidupan empat sahabat iaitu Karmila (Nasha Aziz), Zarina (Vanidah Imran), Fauziah (Aida Aris) dan Rita (Wan Sharmila) yang tinggal di sebuah kondominium.Ketaksuban mereka terhadap jaringan sosial di laman Facebook dan dunia Internet telah merungkai sebuah misteri yang mengaitkan kejadian bunuh di kawasan kediaman mereka.Telefilem terbitan Asia Media Content itu bakal bersiaran pada 23 Januari ini pukul 10 malam di Astro Citra (Saluran 131).