Anuar Zain kini tampil dengan lagu Sedetik Lebih. - Foto SIA HONG KIAUPUNYA kelas tersendiri dalam kelompok artis-artis Malaysia, penyanyi terkenal Anuar Zain juga sering dikaitkan dengan kenyataan terlalu demanding ataupun mendesak dalam menuntut sesuatu perkara selain mahukan layanan bertaraf antarabangsa.Namun, ketika diajukan soalan tersebut, penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Ini memberitahu dia kesal dengan tuduhan tersebut yang sedikit sebanyak menjejaskan reputasinya dalam industri ini. Kata Anuar, layanan dan demanding tidak timbul jika mereka memahami cara berurusan dengannya yang menjadikan nyanyian sebagai satu profesion.“Segelintir pihak kurang jelas dengan istilah demanding dan keperluan yang termaktub dalam kontrak yang dimeterai sebelum menerima tawaran persembahan.“Namun begitu , sebelum terima sesuatu tawaran, pihak saya akan menyediakan kontrak sebagai sebahagian daripada urusan yang perlu.“Bagi saya setiap langkah urusan ini merupakan sebuah urus niaga perniagaan yang memerlukan “hitam-putih”. Jika tidak, ia akan menimbulkan banyak perkara tidak elok seperti penipuan.“Saya hanya bersikap profesional dan ia perlu ada dalam setiap artis yang menjadikan bidang seni sebagai kerjaya,” katanya.Dia berharap kenyataan ini memberi penjelasan kepada masyarakat atau artis yang mengambil lewa tentang perkara ini.Jelasnya, dia hanya menjalankan sebuah urus niaga perkhidmatan melalui bakat yang ada.Susulan daripada itu, Anuar mengakui dirinya sering digelar artis berangan dan menempatkan sendiri dirinya pada kelas tertentu.“Saya tahu ramai di luar sana yang mengelar saya berangan dan sukar untuk bekerjasama tapi jika mereka mengikut cara yang betul ia akan jadi mudah.“Ini bukan tentang berangan tetapi saya mahu industri seni kita sama dengan kerjaya lain di luar sana, bagaimana untuk berurusan dengan sesebuah organisasi kita perlukan surat rasmi dan segala prosedurnya bukan?” soalnya.Selesa tanpa wanitaDiterjah dengan persoalan hati, penyanyi lagu Ketulusan Hati ini menganggap persoalan tersebut merupakan persoalan yang wajib dijawabnya setiap kali diwawancara.Sebagai figura yang sememangnya digilai peminat, dia tidak mengelak ketika diajukan soalan klise itu.Dengan nada tenang, dia memberitahu pada usia yang kini menjangkau umur 40 tahun dia tidak terlalu memikirkan soal itu.Menurutnya, dia sudah selesa hidup bersendiri dengan apa yang dilaluinya kini tanpa kehadiran wanita.“Dulu memang saya ada rasa untuk berkahwin dan memiliki sebuah keluarga sempurna, tapi bila usia dah menjangkau 40 tahun, saya sudah rasa sebaliknya.“Jika ditanya tentang sunyi, saya tidak pernah berasa sendirian kerana saya dikelilingi anak saudara yang ramai, ada pengurus yang cukup setia dari dulu lagi dan mempunyai ramai kawan-kawan yang sering bersama saya.“Saya rasa selesa hidup begini, mungkin juga jodoh saya sudah meninggal dunia,” ujarnya berseloroh.Di usia begini, Anuar memberitahu dia lebih menumpukan perhatian kepada muzik dan kerjayanya. Malah pertambahan usia membuatkannya lebih matang.Bercerita tentang pencapaian, Anuar mengakui dia lebih senang menjalankan kerjanya sebagai seorang penyanyi berbanding bidang lakonan. Dikenali sebagai seorang yang amat mementingkan kesempurnaan, dia mahu bidang nyanyian ini benar-benar memberi kepuasan padanya.“Saya lebih suka memberi perhatian pada satu bidang sahaja. Walaupun dulu saya pernah cuba untuk berlakon tetapi saya rasa tidak sesuai dengan jiwa saya.“Berlakon adalah kerja seseorang pelakon biarlah mereka yang pakar dalam bidang itu yang melakukannya.“Begitu juga dengan menghasilkan lagu. Saya ada juga cuba-cuba membuat lagu dan lirik, tapi bila saya bandingkan dengan lagu komposer lain, lagu mereka jauh lebih sedap dan saya akan ambil lagu mereka untuk dinyanyikan berbanding lagu ciptaan saya sendiri,” katanya.Sedetik LebihSelain itu, Anuar diberi kepercayaan menyampaikan lagu sentuhan indah pasangan adik beradik Edry dan Yusry Abdul Halim melalui lagu Sedetik Lebih atau The Memories dalam versi Inggerisnya untuk filem terbaru terbitan KRU Motion Pictures, Hikayat Merong Mahawangsa.Dihasilkan dengan gabungan hampir 40 pemuzik dari Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) untuk lagu yang meruntun jiwa itu menjadi sebahagian dari rangka promosi KRU kepada filem tersebut.Bagaimanapun, dia menolak dakwaan persetujuan untuk menerima tawaran adalah berpunca dari pembabitan kakaknya, Ziana Zain yang berlakon dalam filem terbitan produksi tersebut berjudul Magika.“Tawaran ini merupakan rezeki saya untuk bekerjasama dengan KRU, saya seronok bekerja dengan adik-beradik ini kerana masing-masing mahukan yang terbaik.“Mereka juga beri peluang kepada saya untuk beri pendapat bagaimana menjadikan lagu tersebut lebih sedap. Hasilnya sangat mengagumkan dan kami berpuas hati.“Tentang Ziana Zain yang pernah berlakon bersama mereka sebelum ini, tidak ada kaitan dengan penerimaan tawaran ini. Saya jarang bertemu dan berbual dengan kakak saya itu tentang kerjaya masing-masing," ujarnya.Ditanya tentang penerimaannya mengalunkan lagu ini sedikit sebanyak menumpang populariti filem itu, Anuar memberitahu secara dasarnya mereka sememangnya saling membantu kedua-dua pihak.“Saya tidak pernah terfikir untuk menumpang populariti filem ini, bagi saya istilah terbaik ialah kami saling membantu satu sama lain. Ia bukan tumpang populariti siapa-siapa.“Filem tersebut mungkin membantu saya dengan album terbaru yang baru sahaja keluar dan saya mungkin membantu promosi kepada filem tersebut,” katanya.Namun begitu, lagu Sedetik Lebih tidak dimasukkan ke dalam album keempatnya kerana album itu merupakan hasil istimewa darinya untuk peminat.“Saya mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan album ini, bagi saya ia mempunyai nilai estetika tersendiri dan terlalu istimewa kepada saya.“Oleh itu, saya tidak mahu ia dicampurkan sekali kerana kedua-dua adalah projek yang berbeza yang mana boleh berdiri sendiri,” katanya.