Aznah dan Sheera terkejut dengan tindakan penerbit drama Halimah Jongang PETALING JAYA: Pelakon Aznah Hamid mempersoalkan kenapa baru sekarang penerbit A.Aida mahu memperkatakan anaknya, Sheera Iskandar tidak berdisiplin iaitu beberapa bulan selepas penggambaran drama bersiri Halimah Jongang musim kedua tamat pada bulan Ramadan lalu.Aznah yang bertindak sebagai pengurus kepada Sheera Iskandar berkata dia juga terkejut apabila A.Aida mengambil keputusan untuk menyaman anaknya tanpa berbincang terlebih dahulu. “Saya terkejut apabila membaca laporan akhbar Ahad lalu bahawa dia mahu menyaman Sheera dengan alasan tidak berdisiplin dan kurang ajar.“Kenapa baru sekarang dia mahu mengambil tindakan tersebut sedangkan ketika penggambaran berlangsung dia tidak menghubungi saya tentang perkara ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online Isnin.Aznah diminta mengulas tentang tindakan A.Aida yang mendakwa Sheera melanggar kontrak termasuk mengambil tawaran produksi lain ketika penggambaran Halimah Jongang.A.Aida turut menyifatkan Sheera sebagai kurang ajar kerana memotong rambut sehingga menyebabkan berlakunya rombakan skrip dalam drama tersebut.Menurut Aznah sebelum Sheera menandatangani kontrak, dia sudah memaklumkan terlebih dahulu kepada A.Aida tentang komitmen yang perlu diberikan kepada produksi lain.Bagaimanapun, A.Aida masih berminat untuk mengambil Sheera bagi memegang watak Halimah dalam drama tersebut.“A.Aida telefon saya ketika ingin menawarkan Sheera berlakon Halimah Jongang, dan kami sudah berbincang banyak perkara termasuk komitmen Sheera terhadap produksi lain.“Namun A.Aida tetap mahukan Sheera menyertai drama tersebut menyebabkan Sheera terpaksa menerima tawaran itu,” katanya yang turut mempersoalkan tentang dakwaan kurang ajar yang dilemparkan A.Aida kepada anaknya.Aznah juga berkata, buat masa ini dia hanya menunggu surat saman yang diberikan sebelum membuat sebarang tindakan.“Saya hanya mahu melihat sahaja apa yang akan berlaku. Kalau boleh kami malas untuk bersuara atau memperbesarkan perkara ini,” ujarnya.Sementara itu, Sheera menjelaskan perkara ini telah memberi tekanan kepadanya untuk berhadapan dengan masyarakat.“Saya tidak tahu untuk bercakap apa-apa tentang perkara ini, saya tak mahu melenting atau melatah.“Cuma saya tertekan dan malu untuk berhadapan dengan orang ramai yang menganggap saya bersalah. Yang pastinya ia menjadi pengajaran kepada saya,” katanya.