PETALING JAYA: Setelah sepuluh tahun menjadi vokalis kumpulan The Girls, Zuraidah Kamaruddin atau Zura kini nekad bergerak solo untuk mengembangkan bakat nyanyiannya dalam industri muzik tempatan.Menurut Zura, dia kecewa apabila bekas kumpulannya sukar mendapat perhatian umum dan sepuluh tahun dalam kumpulan tersebut sudah cukup lama menyebabkan dia ingin mengorak langkah baru dalam nyanyian. "Memang pengalaman bersama The Girls amat bermakna buat diri saya. Tetapi saya ingin pembaharuan hidup. Lagipun, agar sukar untuk saya memberi komitmen terhadap kumpulan tersebut kerana mempunyai urusan kerja lain."Sekarang ini saya mengumpul strategi untuk projek album solo pertama saya di mana ia turut membabitkan kerjasama dengan Nasir Ahmad Nawab dan Selva. Ia juga merupakan impian saya untuk menjadi penyanyi solo yang berjaya."Jika mengikut perancangan, album itu akan dikeluarkan pada bulan Februari depan. Setakat ini saya baru saja merakam dua buah lagu," katanya.Tambah Zura, album yang akan memuatkan sebanyak lima buah lagu itu berkonsepkan Techno Rock and Roll di mana muzik itu belum pernah dibawakan oleh mana-mana penyanyi tempatan lagi."Sekarang ini, konsep muzik dalam industri tempatan sudah lain. Peminat muzik sukakan satu benda yang baru. Jadi saya harap, dengan penghasilan album ini, sedikit sebanyak ia dapat menaikkan nama saya."Apa-apa pun semua itu bergantung pada rezeki. Kadang-kala kita hasilkan album bagus macam mana sekalipun, tidak semestinya album itu boleh diterima ramai, jadi saya reda."Bagaimanapun, saya akan berusaha sedaya upaya untuk mempengaruhi masyarakat meminati lagu saya termasuklah strategi promosi yang dijalankan," ujarnya yang menerbitkan sendiri album tersebut.Kumpulan The Girls pernah popular dengan lagu Tamil, Malasukul (Dalam Hati) sekitar tahun 2000 dan lagu tersebut akan dinyanyikan semula oleh Zura untuk dimuatkan dalam albumnya nanti.Sementara itu, Zura turut menerbitkan album berjudul Hak & Peranan Pengguna bersempena dengan “Kempen Konsumer Kebangsaan”.