suria

Ifa Raziah 'Sembur' Safura & Pengikut Twitter

Ifa Raziah
Ifa Raziah
Ifa Raziah

PETALING JAYA: Pelakon Ifa Raziah mencetuskan kontroversi apabila melemparkan perkataan yang agak “panas” kepada seorang pelakon melalui Twitter dan Facebook miliknya pada Sabtu lalu.

Menerusi laman sosial itu, Ifa memanggil pelakon berkenaan sebagai perempuan murahan selain menasihatinya supaya tidak terus menyalak seperti anjing berikutan kenyataan pelakon tersebut dalam rancangan Melodi pada 30 Januari lalu kononnya turut mengaitkan Ifa Raziah.

Ifa Raziah yang juga Pengarah Urusan, Zenzoria ketika dihubungi menjelaskan tujuannya melemparkan kata-kata kasar menerusi Facebook dan Twitter miliknya kerana tidak berpuas hati selepas melihat kenyataan artis berkenaan iaitu Safura Ya‘cob berserta keratan akhbar dan gambar mengenai kes mereka yang disiarkan menerusi rancangan Melodi bagi menerangkan kemelut yang melanda mereka selama ini.

“Saya tidak berpuas hati dengan kenyataan dia(dalam Melodi) bahawa kemelut antara kami telah selesai. Biarpun dia tidak menyebut nama saya tetapi gambaran yang diberikan oleh rancangan hiburan tersebut sangat menjurus kepada saya.

“Di sini saya ingin jelaskan kemelut kami belum lagi selesai dan masih lagi berjalan di mahkamah. Dia yang memulakan angkara ini mengapa dia kata sudah selesai?” soal Ifa.

Jelas Ifa, isu saman menyaman sejak tahun 1998 di Mahkamah Tinggi dan kemudian berlanjutan di Mahkamah Rayuan pada tahun 2007 sudah selesai apabila Safura diarahkan membayar kos mahkamah sebanyak RM500.

Namun menurut Ifa dia masih belum menerima sebarang bayaran daripada pelakon itu sehingga hari ini.

Ifa juga turut mengemukakan tuntutan ganti rugi sebanyak RM100,000 dan saman malu di Mahkamah Tinggi pada tahun 2007 terhadap Safura.

“Dia yang memulakan tindakan untuk menyaman saya tetapi kedua-dua saman itu diketepikan mahkamah. Malah dia pula yang diarahkan bayar kos guaman sebanyak RM500. Itu pun masih belum dijelaskan lagi.

“Dan atas dasar profesional, saya tidak pernah beritahu perkara ini di mana-mana akhbar biarpun sudah lebih 10 tahun perkara itu berlalu. Tapi dia dengan mudah cakap masalah di antara kami sudah selesai,” katanya.

Sementara itu, di Twitter yang sama, Ifa turut berbalah dengan beberapa pengikutnya apabila segelintir mereka memberi komen negatif terhadap Ifa berhubung pendapatnya terhadap Safura menerusi laman sosial berkenaan.

“Saya cakap begitu untuk mengajar mereka yang kurang ajar agar menghormati artis dan jangan terlalu merendah-rendahkan golongan artis yang mereka tidak suka.

“Saya kecewa dengan segelintir manusia yang tidak minat dengan seseorang artis dan mencaci artis tersebut. Jika mereka tidak suka dengan saya tolong jangan campur urusan saya,” katanya berang dengan segelintir pengikut Twitter yang melemparkan cacian kepadanya.

Jelas Ifa, dia tidak mahu berdiam diri dan terus dipandang hina oleh segelintir pihak yang gemar merendah-rendahkan martabatnya sebagai seorang artis.

Sebelum ini Safura pernah mengemukakan tuntutan ganti rugi sebanyai RM500,000 daripada Ifa Raziah dengan mendakwa penyanyi dangdut itu telah secara salah dan dengan niat jahat kepada wartawan untuk menulis, mencetak dan menyiarkan kenyataan mengenainya (Safura) dalam majalah Media Hiburan edisi 10-16 Oktober, 1998 dan edisi 31-06 November, 1998.

Safura mendakwa Ifa Raziah telah mengadakan temu bual dengan wartawan majalah itu dan memberitahu dia (Ifa Raziah) baru sahaja sembuh daripada penyakit ganjil serta penyakit itu disebabkan oleh seorang rakan artis.

Dalam pembelaannya, Ifa Raziah mengaku memberitahu wartawan yang dia baru sahaja sembuh daripada penyakit ganjil tetapi menafikan membuat kenyataan bahawa penyakit itu disebabkan oleh seorang rakan artis iaitu Safura.

Artikel Sebelum

Artikel Lain