suria

Selebriti Ajak Hayati Pengorbanan Nabi Muhammad

Zizan Nin
Zizan Nin
Zizan Nin

PETALING JAYA: Sambutan Maulidur Rasul akan menjadi lebih bererti sekiranya umat Islam membuat perubahan dan rombakan dalam kehidupan mereka dan menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh sepanjang hayat.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata sempena sambutan Maulidur Rasul 1432 yang disambut Selasa, usaha memperingati kembali hari kelahiran Nabi Muhammad diharap dapat menjadi peringatan kepada seluruh umat Islam.

Sementara itu, selebriti tempatan juga tidak lupa menyemarakkan semangat Maulidur Rasul dan berkongsi pendapat mereka.

Zizan Nin - pelakon

“Kita wajar meraikan perayaan Maulidur Rasul sebagai azam untuk mencontohi sifat keperibadian, cara hidup dan ketokohan baginda sama ada sebagai individu, pemimpin, suami, usahawan serta hamba yang sentiasa patuh setiap suruhan dan menjauhi apa yang dilarang oleh Allah Rabbuljalil.”

Wardina Safiyyah- pengacara

“Sebagai seorang wanita dan ibu, saya berterima kasih kepada Rasulullah yang telah menaikkan darjat kami, yang telah melindungi kami, yang telah menghormati kami.

“Rasullulah pejuang wanita pertama di dunia. Wasiat akhir Rasulullah diingatkan sekali lagi supaya kaum lelaki melayan isteri dan wanita dengan baik. Rasulullah adalah lelaki yang paling saya cintai. Tetapi saya tahu belum cukup "cinta" kepadanya.

“Kalau mahu kita kaitkan dengan industri hiburan, saya merasakan bahawa pengarah-pengarah filem lelaki tidak boleh mengeksploitasi badan wanita untuk melariskan filem mereka.

“Jangan kita lupakan Al-Quran, bacalah satu ayat satu hari pun jadilah. Semoga kita berhijrah menjadi lebih baik.”

Datuk Ramli MS- Pengarah Muzik

“Kita merupakan manusia biasa yang memang tak boleh dibandingkan dengan malaikat apatah lagi dengan Nabi Muhammad.

“Jadi, kita perlu melakukan perubahan dengan menghormati diri sendiri dalam apa jua keadaan.

“Nescaya dengan cara itu kita akan menghormati orang lain dan dihormati.”

Azharina Azhar - Penyanyi

“Sebagai umat Islam, kita haruslah bersyukur kerana tinggal di bumi Malaysia yang cukup kaya dengan hasil bumi aman dan damai jika dibandingkan dengan negara lain.

“Islam adalah agama yang fleksibel dan senang untuk diadaptasi dari zaman ke zaman.

“Saya berpendapat harus untuk kita khususnya rakyat Malaysia merenung dan merombak apa juga unsur-unsur kebaratan yang tidak bertamadun dari meracuni dan menembusi akal fikiran kita dan generasi akan datang. Perkara itu akan merosakkan akidah dan fikiran anak bangsa yang bakal memimpin negara.

“Allah s.w.t sudah mengutus kita Rasul akhir zaman yakni Rasulullah, Nabi Muhammad s.a.w.

“Rasulullah adalah contoh kepada kita sebagai umatnya dan al-Quran adalah kitab yang diturunkan untuk kita dan panduan untuk kita sehingga akhirat.

“Segalanya telah termaktub dan kita harus berpandukan al-Quran dan mencontohi ajaran Rasulullah agar kita berada di landasan yang telah diatur Allah swt.”

Artikel Lain