PETALING JAYA: Selepas kontroversi dibuang dari teater bangsawan Siti Zulaikha, kini pengarah teater itu Raja Azrey Kamaruzzaman meneruskan perjuangannya dengan mementaskan teater bangsawan Siti Zubaidah pula.Pelibatan Azrey bersama bekas pelakon-pelakon Siti Zulaikha di bawah produksinya sebelum ini dianggap sebagai tempat pengubat luka apabila diberi peluang untuk menjayakan teater tersebut yang akan diadakan pada 18 hingga 20 Mac 2011 di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur. Bagaimanapun, menurut Azrey, Siti Zubaidah adalah sebuah pementasan baru yang tidak ada kena mengena langsung dengan jalan cerita Siti Zulaikha seperti latihan yang mereka lakukan sebelum ini."Teater ini adalah pengubat luka kami yang tidak dapat mempersembahkan Siti Zulaikha yang telah pun dipentaskan pada minggu lalu oleh produksi lain."Mungkin apa yang telah berlaku ini ada hikmahnya. Selepas kontroversi tersebut, saya mendapat tawaran ini pula."Sekurang-kurangnya pementasan Siti Zubaidah dapat menebus maruah mereka yang diperlekehkan sebelum ini," tegasnya.Tambah Azrey, untuk pementasan kali ini, dia tidak memegang tanggungjawab sebagai pengarah sebaliknya pementasan itu diarahkan oleh Kushairi Mahyudin.Azrey akan turut berlakon dalam Siti Zubaidah selain dipertanggungjawabkan menguruskan perjalanan teater tersebut dari awal produksi sehingga habis pementasan.Pada 16 Februari lalu, kontroversi Siti Zulaikha tercetus apabila Azrey, mempersoalkan tindakan penganjur teater itu yang dianggap tidak profesional kerana dipercayai menubuhkan sebuah kumpulan baru untuk menggerakkan produksi tersebut.Pementasan Siti Zubaidah diadakan bersempena dengan Program Semarak Bangsawan 2011, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala LumpurAntara pelakon-pelakon yang terlibat ialah Ani Mayuni, Raja Azrey, DJ Pool (KLFM), Azza AF, Khaty Azian, Eida Moin, Ezad Exist dan lain-lain lagi.Tiket yang dijual dengan harga hanya RM5 itu boleh ditempah dengan menghubungi talian 03-20523617 (Rozita Rahim).