suria

Benarkah Shaheizy Sam Mahu Keluar MIG Gara-Gara Bonus?

Shaheizy Sam nafi terkilan dengan MIG
Shaheizy Sam nafi terkilan dengan MIG
Shaheizy Sam nafi terkilan dengan MIG

PETALING JAYA: Pelakon popular Shaheizy Sam atau lebih mesra dipanggil Sam dikatakan ingin menarik diri daripada menjadi artis di bawah pengurusan Metrowealth Sdn Bhd (MIG) kerana terkilan dengan bonus sebuah rumah yang diberikan kepadanya sebelum ini.

Sam yang dihubungi bagi menjelaskan perkara tersebut bagaimanapun terkejut dengan dakwaan tersebut sebaliknya berkata, dia tidak pernah mempunyai apa-apa masalah dengan syarikat produksi berkenaan.

“Saya juga terkejut apabila terbaca gosip mengatakan saya terkilan dan kecil hati dengan pihak MIG sehingga ingin keluar daripada syarikat produksi tersebut. Dakwaan itu tidak benar sama sekali.

“Tentang bonus sebuah rumah yang dikatakan itu, tiada apa-apa perkara lain yang disembunyikan. Memang saya mendapat bonus seperti mana yang diumumkan pada malam penghargaan MIG tempoh hari,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Tambah Sam, dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah sejak menandatangani kontrak pada November lalu dengan MIG.

Malah dia juga selesa berada di bawah syarikat produksi yang turut bertindak sebagai pengurusan artis.

“Saya tidak pernah terfikir untuk keluar dari MIG. Selama tiga bulan di bawah pengurusan ini, perjalanan kerjaya saya lebih teratur.

“Mungkin ada orang yang tidak berpuas hati dengan saya atau dengan MIG tetapi menjadikan saya sebagai bahan subjeknya,” katanya yang menganggap penyebar fitnah itu ada agenda tersendiri.

Dalam pada itu, mengulas tentang perjalanan kerjayanya, Sam yang baru sahaja selesai penggambaran filem Bini-Biniku Gengster mengakui belum bersedia untuk terjun ke pentas teater.

Katanya, dia belum mempunyai keyakinan diri untuk berlakon teater biarpun sudah mempunyai pengalaman luas dalam bidang lakon layar.

“Bukan senang untuk berlakon teater, pada saya orang yang benar-benar layak dan berkeyakinan sahaja mampu untuk berlakon di pentas teater.

“Saya masih lagi menimba pengalaman dalam bidang lakonan televisyen dan filem. Tapi apabila saya yakin dan bersedia barulah saya menerima untuk sahut cabaran itu,” katanya yang menolak beberapa tawaran berlakon teater.

Artikel Sebelum

Artikel Lain