suria

'Imam Muda Musim Kedua' Perkenalkan Mursyid

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar bersama mudir dan mursyid-mursyid baru Imam Muda
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar bersama mudir dan mursyid-mursyid baru Imam Muda
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar bersama mudir dan mursyid-mursyid baru Imam Muda

PETALING JAYA: Astro memperkenalkan barisan Mursyid (guru) yang akan berperanan sebagai tenaga pengajar dan penasihat tenaga pengajar untuk musim kedua program realiti Imam Muda.

Program itu menampilkan empat orang Mursyid yang kesemuanya merupakan muka baru sebagai tenaga pengajar.

Mereka adalah Ustaz Ikmal Zaidi, Ustaz Tuan Asmawi, Ustaz Izhar Ariff dan Ustaz Zulkefli Hamat.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, Imam Muda amat komited dengan usaha menonjolkan golongan muda yang berpotensi bagi memikul tanggungjawab bukan saja sebagai seorang imam yang serba boleh tetapi juga pemimpin yang berwibawa.

“Kami amat serius dalam memastikan calon Imam Muda kali ini mendapat didikan terbaik daripada pelbagai bidang keagamaan sebagai pelengkap ke arah menjadi seorang Imam Muda.

”Jika pada musim pertama kami memperkenalkan dua orang Mursyid untuk menjadi penasihat dan pembimbing kepada 10 Imam Muda, pertambahan kepada empat individu ini menunjukkan kekuatan azam kami untuk meningkatkan lagi kualiti rancangan ini.

"Secara tidak langsung calon Imam Muda musim ini perlu bersedia dari segi mental dan fizikal terhadap cabaran yang pastinya akan lebih hebat bakal dilalui oleh mereka,” katanya.

Bagi merancakkan lagi perubahan untuk musim kedua ini, Mursyid bukan sahaja berperanan sebagai penasihat dan pembimbing malah akan turut serta sebagai tenaga pengajar dalam bidang masing-masing.

Mereka juga akan menjadi tulang belakang dan bersama-sama dengan Mudir membentuk Imam Muda yang terunggul.

“Perubahan yang dilakukan ini menggalakkan lagi penglibatan Mursyid dan Mudir secara langsung dalam pengajaran dan pembelajaran Imam Muda.

"Ini akan menambahkan lagi keakraban mereka seterusnya memudahkan proses perkongsian ilmu,” ujarnya.

Selain itu, penyertaan kumpulan pelajar Malaysia yang pulang dari Mesir turut merancakkan lagi sesi temu duga musim ini.

Fktor-faktor inilah yang akan mewujudkan persaingan sengit pemilihan calon Imam Muda musim kedua yang sedang dijalankan sekarang,” katanya.

Siri pencarian Imam Muda musim kedua ini bakal bersiaran di saluran rasmi Astro OASIS (saluran 106) bermula 1 April 2011.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain