PETALING JAYA: Penyanyi popular Ziana Zain menjelaskan dia mempunyai alasan yang kuat terhadap dakwaan berlagak diva dan meninggalkan sesi fotografi sebuah majalah secara tidak profesional baru-baru.Jelas Ziana, tindakannya meninggalkan sesi fotografi sebuah majalah fesyen keluaran Mac itu adalah kerana pakaian yang disediakan telah melangar prinsip dan boleh menjejaskan imejnya. “Saya tinggalkan sesi fotografi itu kerana pakaian yang diberikan kepada saya sangat tidak sesuai dengan imej saya sekarang. Bagi saya ia terlalu remaja dan tidak sesuai dengan status saya sebagai ibu dan isteri.“Kalau saya pakai juga sudah tentu ada yang akan berkata lebih teruk lagi. Kenapa saya nak rosakkan imej yang saya bina selama 20 tahun dengan pakaian sebegitu?” katanya ketika ditemui pada Majlis Perlancaran Antabax di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat.Tambah Ziana, dia kesal dengan tuduhan majalah tersebut yang menganggapnya sebagai artis tidak profesional, emosi dan tidak pandai berfesyen.“Saya kecewa dan terkilan dengan apa yang mereka katakan tentang saya. Ia seperti satu serangan peribadi kepada saya.“Saya datang untuk sesi fotografi dengan hati yang terbuka. Saya bukan tolak mentah-mentah untuk tidak pakai baju tersebut."Saya pakai juga baju itu tetapi ia memang tidak sesuai langsung dengan usia saya.“Bagaimanapun saya menolak dengan baik dan minta digantikan dengan baju lain tetapi mereka tidak beri sebarang pilihan selain pakai baju tersebut. Siapa yang tidak professional?” soalnya.Tambah Ziana, selama 20 tahun dalam industri hiburan, kejadian itu merupakan pengalaman pertama dia berhadapan masalah dengan media.Jelas Ziana lagi, dia tidak pernah cerewet dengan pakaian atau solekan yang disediakan melainkan ia benar-benar melangar prinsipnya.“Siapa yang pernah bekerja dengan saya tahu bagaimana saya bekerja, saya tidak pernah berlagak seperti seorang diva dan terlalu cerewet dengan pemilihan pakaian atau solekan.“Tapi bila ia menyentuh kepada maruah dan imej yang mana boleh mejejaskan nama baik yang saya bina selama ini sudah tentu saya menolak,” katanya.Menurut Ziana lagi bukan dia sahaja yang menegur tentang pakaian tersebut, malah artis lain seperti Ning Baizura dan Erra Fazira turut mempersoalkan pakaian masing-masing ketika terlibat dalam sesi fotografi itu.“Mereka seharusnya buat kajian dulu artis mana yang datang dan pakaian apa yang sesuai untuk artis tersebut.“Ketika itu, bukan saya sahaja yang tidak mahu pakai baju yang disediakan malah Ning dan Erra juga minta pakaian lain,” katanya.