suria

Joanna Bessey Dapat Bayi Lelaki

Joanna Bessey mendukung Aditya. - Foto ART CHEN
Joanna Bessey mendukung Aditya. - Foto ART CHEN
Joanna Bessey mendukung Aditya. - Foto ART CHEN

KUALA LUMPUR: Setelah lima tahun berkahwin, pelakon Joanna Bessey, 34, baru menerima kelahiran bayi sulungnya, Aditya berusia sebulan.

Bayi lelaki hasil perkongsian hidupnya dengan Aurel itu dilahirkan pada 28 Februari lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya, di sini.

Joanna yang gembira dengan kelahiran Aditya sedang belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan baru sebagai seorang ibu.

“Saya sedang menyesuaikan diri untuk seimbangkan antara masa dengan anak dan kerja. Di sebabkan Aditya masih kecil, saya terpaksa mengurangkan kerja seni kerana bayi masih menyusu badan.

“Kadangkala, saya meminta ibu saya, Zaitun untuk menjaga Aditya apabila saya sibuk dengan kerja. Bagaimanapun saya masih perlu membawa Aditya ke tempat kerja.

“Lagipun, kerja saya bukan di pejabat. Jadi, saya bebas untuk membawa Aditya sambil ditemani oleh ibu,” katanya yang bakal sibuk dengan pengarahan dua buah teater.

Teater tersebut berjudul Love Journey pada April di KL Pac dan Dream Girls pada Julai ini di Istana Budaya.

“Saya lebih banyak melakukan kerja mengarah teater kerana lebih relaks dan membolehkan saya membawa Aditya.

“Nasib baik Aditya tidak banyak kerenah. Agaknya dia sudah biasa dengan suasana dikerumuni ramai orang kerana saya selalu membawa kawan-kawan datang ke rumah.

“Mungkin kerana sewaktu saya mengandungkan Aditya, saya selalu sibuk terlibat dengan persembahan,” ceritanya.

Tambahnya: “Aditya juga menyukai muzik terutama genre jazz. Dia akan menjadi tenang apabila mendengar muzik itu kerana saya selalu mendengar muzik jazz sewaktu hamil.

“Saya tidak menghalang sekiranya dia mahu menyertai bidang seni apabila besar nanti. Mungkin saya akan memberikan galakan kepada Aditya menyertai kelas lakonan kerana saya juga mengajar drama untuk kanak-kanak.

“Saya juga mahu dia belajar kemahiran berkomunikasi dan sosial. Bagaimanapun, saya tidak akan memaksa dia menyertai dunia seni ini.”

Pelakon drama La Dolce Amira itu juga sempat berkongsi pengalamannya berpantang selama 30 hari.

Joanna menggunakan khidmat bidan Melayu untuk rawatan mengurut selepas bersalin dan mengamalkan jamu.

Selain mengurangkan pengambilan makanan, dia juga mengelakkan makanan manis, bercoklat, lada hitam dan halia kerana akan mengundang ketidak selesaan kepada perut bayi.

Artikel Berikut

Artikel Lain