suria

Bruno Mars Pukau 3,000 Penonton di PWTC

Aksi Bruno Mars dalam konsert sulungnya di Kuala Lumpur menggegarkan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam Ahad. - Foto ihsan PETER TAN
Aksi Bruno Mars dalam konsert sulungnya di Kuala Lumpur menggegarkan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam Ahad. - Foto ihsan PETER TAN
Aksi Bruno Mars dalam konsert sulungnya di Kuala Lumpur menggegarkan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam Ahad. - Foto ihsan PETER TAN

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer Bruno Mars, 25, tampil dengan aksi memukau di hadapan 3,000 penonton dalam konsert Doo-Wops & Hooligans Tour Live in Malaysia yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam Ahad.

Dalam persembahan berdurasi satu jam itu, Mars menyampaikan 14 lagu popularnya termasuk Just The Way You Are, Grenade, Marry You, The Lazy Song dan Runaway Baby.

Tirai konsert tersebut dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh penyanyi tanah air Mizz Nina menerusi dua lagu iaitu Let Me C U Get It dan What You Waiting For pada sekitar 8.20 malam.

Sesi 'sound check' selama 20 minit yang menyusul selepas itu di pentas sedikit pun tidak merencatkan keghairahan peminat menantikan kemunculan penyanyi kelahiran Honolulu, Hawaii itu.

Mars tampil di pentas pada pukul 9 malam dengan menunjukkan kemahirannya bermain dram dan disambut teriakan luar biasa peminat.

Persembahan pertama penyanyi itu dimulakan dengan lagu Space Odyssey, lantas disusuli lagu The Other Side yang dipetik daripada album sulungnya Doo-Wops & Hooligans.

Terus menghangatkan malam itu, pemenang anugerah Persembahan Vokal Pop Lelaki Terbaik di Anugerah Grammy ke-53 ini terus mengikat tumpuan dengan alunan lagu-lagu seperti Top of the World dan medley Money/Billionaire.

Penyanyi yang terkenal dengan kelantangan vokalnya itu memperlahankan rentak dengan lagu berbaur seksual Our First Time yang mengundang jeritan penonton.

Selain kekuatan vokal yang konsisten, Mars turut mempamerkan kemahiran bermain gitar dan menari yang memikat.

Petikan instrumen yang sinonim dengan Hawaii iaitu ukelele ketika menyampaikan lagu Count On Me adalah antara persembahan yang istimewa.

Selepas kira-kira sejam menggegarkan PWTC dengan lagu-lagu seperti Mash Up, Marry You, The Lazy Song, Liquor Store Blues, Nothin’ On You dan Grenade, Mars tampil dengan gimik menutup konsertnya dengan lagu Just The Way You Are.

Bagaimanapun, selang beberapa minit kemudian, pemilik nama sebenar Peter Gene Hernandez itu kembali muncul di pentas dengan menyampaikan lagu rancak Runaway Baby bagi menutup tirai persembahan.

Tampil dalam sebuah konsert yang ringkas, padat dan menghiburkan, Mars sempat berjanji untuk kembali ke Malaysia dalam waktu terdekat.

Album Doo-Wops & Hooligans kini berada di pasaran edaran Warner Music Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain