Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi (tengah) bersama dua juri untuk sesi ujibakat MasterChef Malaysia, Chef Johari Edrus (kiri) dan Chef Zubir Md Zain. - Foto KAMARUL ARIFFINKUALA LUMPUR: Chef atau tukang masak berwibawa dari seluruh Malaysia diundang untuk menyertai sesi ujibakat program realiti masakan MasterChef versi Malaysia yang bakal bersiaran di Astro Ria, Oktober depan.Kata Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, fenomena program MasterChef USA, UK dan Australia telah menyuntik inspirasi kepada pihaknya untuk membawa program itu ke Malaysia. Atas keyakinan pada bakat-bakat masakan di Malaysia, stesen televisyen berbayar itu mensasarkan untuk mencari 40 hingga 50 orang chef daripada sesi ujibakat sebelum disenaraipendekkan untuk menyertai program tersebut."Kita tidak meletakkan sebarang syarat tentang jenis masakan. Sesiapa sahaja yang menepati syarat sah penyertaan boleh mencuba nasib dengan masakan masing-masing."Yang penting, kita ingin mencari chef yang teruja dan cinta pada bidang masakan."Mereka juga mesti mempunyai kesungguhan untuk belajar pelbagai kemahiran dan masakan dari serata dunia menerusi program ini," katanya yang ditemui pada sidang media pengumuman sesi ujibakat program itu di Bangsar, di sini, Khamis.Menjelaskan tentang sesi ujibakat yang bakal berlangsung, Azlin menambah: "Para peserta diundang untuk menghadiri sesi ujibakat mengikut tarikh dan lokasi yang telah ditetapkan."Pada hari ujibakat, peserta perlu membawa hidangan atau masakan yang halal yang dimasak oleh mereka sendiri untuk dipersembahkan kepada dua juri kami."Sekiranya masakan mereka menepati pencarian kami, individu berkenaan akan dihubungi untuk hadir pada keesokan harinya bagi menunjukkan demonstrasi masakan di depan juri."Sesi ujibakat bakal berlangsung di lima lokasi bermula di Hotel Equatorial, Bayan Lepas - Pulau Pinang (23 April); Hotel Beverly, Kota Kinabalu - Sabah (30 April); Hotel Selesa, Johor Bahru - Johor (7 Mei); Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu - Terengganu (13 Mei) dan diakhiri di Kolej Universiti KDU, Petaling Jaya - Kuala Lumpur (20 dan 21 Mei).Ujibakat itu terbuka kepada warganegara Malaysia sama ada lelaki atau perempuan. Mereka mestilah berumur 18 tahun ke atas dan boleh bertutur dalam bahasa Malaysia.Mereka yang berminat perlu membawa salinan kad pengenalan dan sekeping gambar berukuran 4R, selain hidangan (halal) pada sesi ujibakat.Para peserta akan diadili oleh dua chef profesional iaitu Chef Johari Edrus dan Chef Zubir Md Zain.Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi www.masterchef.com.my atau laman sosial Facebook dan Twitter di www.facebook.com/MasterChefMalaysia dan www.twitter.com/MasterChefMY.Penyertaan secara online adalah sebelum 18 April depan.Program MasterChef Malaysia akan bersiaran di Astro Ria (saluran 104) bermula Oktober depan.