Zizan Raja LawakPETALING JAYA: Pelakon komedi dan pengacara Zizan (Raja Lawak) terlibat dengan kemalangan kira-kira pada pukul 3 petang Jumaat.Dia bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan akan muncul pada pertandingan Maharaja Lawak malam ini. Perkara tersebut disahkan oleh pengurusnya, Marina Juki.Kata Marina, insiden yang berlaku di kawasan Bangsar, Kuala Lumpur itu hanya melibatkan kemalangan kecil dan tidak mencederakan pelawak itu.“Tiada apa yang serius. Hanya kemalangan kecil dan kami tidak apa-apa. Cuma cermin kereta Zizan saja yang pecah.“Bagaimanapun, dia akan tetap meneruskan saingan dalam Maharaja Lawak malam ini,” katanya kepada mStar Online.Dalam pertandingan yang melibatkan barisan finalis Raja Lawak dari musim pertama hingga kelima itu, Zizan bergandingan dengan Johan dengan menggunakan nama Jozan.Persaingan Maharaja Lawak untuk minggu ketiga yang berlangsung malam ini akan menyaksikan penyingkiran tiga peserta.Dua peserta dengan undian terendah daripada minggu lepas akan disingkirkan sebelum pertandingan manakala peserta yang mendapat undian terendah malam ini akan disingkirkan di akhir rancangan.Bermula minggu ini, Maharaja Lawak akan bersiaran di Astro Warna (saluran 132).