Antara barisan pelakon JuvanaPETALING JAYA: Stesen televisyen TV3, bakal menyiarkan drama terbaru berjudul Juvana mulai 25 April ini.Ia akan disiarkan setiap Isnin, pukul 9 malam. Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama, TV3 & TV9, Nurul Aini Abu Bakar berkata, drama tersebut bertujuan mendidik para penonton supaya mengambil iktibar daripada paparan kisah kehidupan watak-watak siri drama tersebut.“TV3 sentiasa tampil ke hadapan dengan memperkenalkan genre drama yang baru kepada jutaan penontonnya dan drama bersiri ini bakal mengupas sisi hidup pesalah-pesalah juvana. Selain menyelami dunia dan perasaan hati mereka.“Kami juga ingin memberi inspirasi kepada para penonton supaya sentiasa berubah ke arah yang positif dan jangan terlibat dengan gejala gengsterisme yang hanya akan memudaratkan diri.“Kejayaan akademik dan pengetahuan moral yang tinggi akan memberi jaminan kepada masa depan anda. Itulah yang ingin disampaikan oleh kami menerusi drama bersiri Juvana ini,” katanya.Drama ini berkisarkan perjalanan seorang remaja berusia 17 tahun yang tidak bersalah tetapi dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak atas tuduhan membunuh.Drama terbitan Filmscape ini menyaksikan gandingan hebat antara penerbit Kabir Bhatia, Pengarah Faisal Ishak dan penulis skrip Alfie Palermo dan membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Bront Palarea, Zahiril Adzim, Izreen Azminda, Irfan Roslan, Beto Khusairy, Kuswadinata dan Hariry."Kami berharap agar Juvana ini akan menerima sambutan yang menggalakkan daripada penonton-penonton TV3 nanti, ” tambah Nurul.