suria

TV9 Mahu Dekati Golongan Remaja

Faizal Tahir antara artis yang akan menjayakan konsert sempena ulang tahun ke-5 TV9.
Faizal Tahir antara artis yang akan menjayakan konsert sempena ulang tahun ke-5 TV9.
Faizal Tahir antara artis yang akan menjayakan konsert sempena ulang tahun ke-5 TV9.

PETALING JAYA: Stesen televisyen TV9 menyasarkan untuk mendekati golongan remaja dengan menyajikan pelbagai aktiviti menarik sempena ulang tahun kelima stesen tersebut.

Antara acara besar-besaran adalah konsert ulang tahun TV9 pada 20 Mei ini di Pavilion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Di samping itu turut diadakan majlis pelancaran ulang tahun tersebut dan mengumumkan aktiviti yang dirancang sepanjang tahun ini.

Seramai lapan artis akan terlibat seperti kumpulan Pesawat, Ella, Faizal Tahir, Haris (Idola Kecil 3) dan kumpulan Awan Band. Menurut Ketua Pengurusan Penjenamaan TV9, Feisal Abdul Malik, golongan remaja menjadi sasaran mereka untuk menambah jumlah audiens yang lebih besar.

Sebelum ini mereka telah berjaya menarik golongan kanak-kanak menerusi siri kartun “Upin Ipin” dan mengekalkan sasaran itu.

“Kita telah melakukan beberapa aktiviti untuk remaja seperti program Ekspresi Remaja di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Shah Alam beberapa hari lalu dengan menjemput rakan artis seperti Aizat dan kumpulan Hujan untuk membuat persembahan.

“Kita berhasrat untuk menjadikan TV9 sebagai landasan untuk mencungkil bakat remaja dan selepas ini merancang untuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada September dan Oktober ini.

"Kami akan menganjurkan gitar idol, bengkel gitar, pertandingan band indie dan “gig” untuk meraikan kumpulan muzik remaja selama dua hari pada 9 dan 10 Julai depan.

"Antara artis yang terlibat dalam konsert adalah Aizat, kumpulan Hujan dan Bunkface," ujar Feisal dalam satu sidang media di sini, Jumaat.

Katanya lagi, TV9 melakukan perubahan dari segi penyusunan kandungan apabila tidak lagi mempunyai siaran ulangan.

"Sebelum ini banyak ulangan drama tetapi sekarang banyak program dan drama yang baru disiarkan.

"Setakat ini, program seperti Tanyalah Ustaz telah mencecah lebih 600,000 penonton dan Semanis Kurma juga menjadi antara program popular," ujarnya sewaktu karnival Nasi Lemak Kopi O sempena ulang tahun kelima itu.

Karnival yang berlangsung di perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama itu diwarnai oleh persembahan artis tempatan iaitu penyanyi Anuar Zain, Alyah dan Misha Omar.

Selain itu, program tersebut turut dimeriahkan celoteh oleh pengacara Aziz Desa, Farah Anuar, Fateen (Gadis Melayu) dan Sharifah Nur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Astro B.yond IPTV Dilancar

Artikel Lain