suria

Cinta & ideologi Farid Kamil

SEJAK berita putus cinta Farid Kamil dengan Diana Danielle heboh pada hujung tahun lalu, pelakon dan pengarah ini seakan-akan cuba menghilangkan diri untuk membiarkan kisah luka itu berlalu.

Bertemu anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini di lokasi penggambaran filem Legenda Budak Setan 2 di sekitar Ulu Kelang, Kuala Lumpur baru-baru ini, keadaannya dilihat semakin kurus.

Tiada kaitan pun kurus kerana makan hati dengan kisah cinta yang lalu, sebaliknya dia terlalu sibuk dengan dunia seninya.

“Sekarang ini saya perlu fokus dengan pelbagai perkara serentak sehingga membuatkan jadual kerja menjadi terlalu padat. Mungkin kerana itu saya kelihatan susut sedikit.

“Pada masa yang sama, saya juga aktif bermain sukan polo dan aktiviti tersebut juga mampu menurunkan berat badan seseorang dengan mudah.

“Bagaimanapun, jujurnya, saya kini semakin kurang menonjolkan diri di media cetak mahupun elektronik. Saya tidak memberi penekanan ke arah publisiti melainkan muncul dengan produk karya saya,” tuturnya.

Mengenali lelaki ini, dia bukanlah seorang yang ‘banyak mulut’ apabila berbicara sebaliknya senyuman lebih banyak diberikan. Malah katanya berseloroh, “saya seorang pemalu lah.”

Sengaja mahu mengorek rahsianya yang mungkin sudah pun memiliki buah hati baru, Farid menggelengkan kepala.

“Seperti yang dikatakan tadi, saya mahu fokus dengan kerja,” ujarnya ringkas. Tidak serik dengan kisah cinta yang hanya bergerak separuh jalan, bagi Farid, ia merupakan sebuah pengalaman hidup yang dilalui oleh kebanyakan manusia.

Baginya, cinta mungkin akan tiba suatu hari nanti tetapi bukan lagi sekarang.

“Saya biarkan cinta datang dengan sendiri. Kejadian lalu (putus cinta dengan Diana) banyak mengajar saya tetapi ia tidak menjejaskan mutu kerja, cuma ia sedikit mengganggu diri ini. Tapi semua itu sudah berlalu,” katanya.

Walaupun sibuk dengan kerjaya seni, Farid tidak pernah mengabaikan diri sebaliknya mengisi perkara-perkara yang diminatinya dalam jadual harian.

Mungkin ada di kalangan pembaca sudah pun tahu mengenai hobi baru Farid yang gemar menunggang kuda.

Kata Farid yang bakal menginjak usia 30 tahun pada 5 Mei ini, pembahagian masa merupakan perkara penting agar kehidupan sehariannya seimbang dengan aktiviti-aktiviti yang diminati.

“Bila ada masa terluang, saya lebih selesa duduk di rumah atau melepak dengan teman-teman rapat.

“Cuma banyak perkara yang membatasi seseorang pelakon itu untuk bersosial seperti orang biasa.

“Tetapi itu bukanlah satu alasan bagi saya. Selagi kita bijak membahagikan masa, melakukan perkara yang kita inginkan bukanlah satu masalah,” tegasnya.

Ideologi pengarahan

Membuka bicara mengenai bidang pengarahan yang amat diminatinya, bukan main rancak lagi Farid menceritakan ideologi teknik pengarahan dalam sesebuah filem yang dihasilkan.

Bagi Farid, kebanyakan pengarah muda dan lama memiliki ideologi yang berbeza untuk diterapkan dalam filem masing-masing.

“Memang terdapat sedikit isu bila menceritakan tentang perbandingan antara pengarah lama dan baru, malah perbezaan pendapat itu boleh membawa ke peringkat pertelingkahan.

“Pendapat saya pula, ia terpulang kepada ideologi masing-masing. Lebih-lebih lagi bila ada yang mengata seseorang pengarah itu kolot sedangkan ia tiada kaitan langsung dengan penghasilan sesebuah filem.

“Bagaimanapun, ideologi saya pula berdasarkan pengalaman yang dilalui ataupun kehidupan realiti yang berlaku pada masa kini.

“Malah saya juga mempunyai pandangan tersendiri mengenai gejala-gejala rempit yang berlaku di kalangan anak muda sekarang. Sebab itu saya menghasilkan filem berkaitan rempit,” tuturnya.

Jadi mat rempit

Mengimbas kembali kenangan lalu, Farid membuka rahsia diri bahawa dia juga pernah menjadi mat rempit di zaman sekolah menengah.

Bersyukur kerana tidak ada perkara-perkara bahaya yang berlaku kepada dirinya, Farid menyesal dengan kegiatan yang dilakukannya bersama rakan-rakan ketika itu.

“Saya nampak banyak perkara negatif apabila menjadi seorang mat rempit. Ia banyak merugikan. Itu pun saya sedar bila dah dewasa. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada kemalangan yang menimpa diri seperti kebanyakan teman saya,” tuturnya.

Justeru itu, ketika belajar dalam bidang Seni Persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Farid membuat kajian mengenai kehidupan seorang mat rempit sebelum memasukkan kisah golongan tersebut ke dalam beberapa filemnya iaitu V3 Samseng Jalanan dan Remp-It.

“Bila saya membuat kajian, barulah saya faham bahawa golongan mat rempit termasuklah saya dahulu mempunyai ideologi yang tersendiri.

“Maklumlah, sejarah kita pernah mengatakan orang Melayu memiliki darah pahlawan. Jadi ia turut dikaitkan dengan golongan mat rempit apabila motor yang ditunggang itu dianggap sebagai kuda dan topi keledar pula adalah tengkolok.

“Lalu, mereka mencari kehormatan diri menerusi perlumbaan yang diadakan,” katanya. Bagaimanapun tambah Farid, dia berharap agar fahaman seperti itu di kalangan mat rempit perlu diubah agar tidak memakan diri sendiri.

Foto AZLINA ABDULLAH

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain