Erra FaziraTATKALA mahu menghilangkan tekanan kerja, melancong sambil membeli belah merupakan salah satu kegiatan yang pasti dapat menenangkan buat penyanyi dan pelakon jelita Erra Fazira.Dipilih menjadi Celebrity Guide bagi mempromosikan sebuah resort hiburan baru, City of Dreams (CoD), di bandar raya Macau, peluang untuk membeli-belah tidak mungkin disia-siakan oleh Erra. Walaupun padat dengan aktiviti-aktiviti yang perlu dilakukan, Erra masih sempat mencuri masa untuk membeli belah buat diri sendiri dan teman-teman rapatnya.“Saya ni memang seorang yang gila membeli-belah. Sudah menjadi tabiat saya untuk memakai baju baru setiap kali pergi dan pulang dari sesebuah destinasi pelancongan.“Malah seboleh-bolehnya saya nak beli barangan dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Kiranya, baju, seluar kasut dan aksesori rambut antara barang yang wajib saya beli.“Selamatlah juga duit saya kerana di CoD, saya tidak mempunyai masa yang lama untuk membeli belah. Kalau tidak, habis saya borong macam-macam benda. Bagaimanapun, buah tangan buat rakan-rakan dan keluarga adalah perkara yang paling wajib,” katanya yang ditemui ketika lawatan bersama media ke CoD pada 18 hingga 20 April lalu.Mengenai resort yang baru sahaja dibuka sejak dua tahun lalu itu, CoD dibina di satu lokasi berhadapan pusat hiburan terkenal di badar tersebut iaitu The Venetion.Malah, perjalanan ke lokasi tersebut mengambil masa hanya lima minit sahaja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Macau.Dalam resort CoD tersebut, terdapat tiga rangkaian hotel iaitu Hard Rock Hotel, Crown Tower dan Grand Hyaat.Selain itu, terdapat juga kawasan untuk membeli belah barangan yang berjenama mewah antaranya Belle, Gucci, Jimmy Choo, YSL dan kedai-kedai gajet.Kata Erra, dia gembira berpeluang menjadi Celebrity Guide resort itu kerana peluang tersebut jarang-jarang diberikan kepada selebriti tempatan.“Selalunya, selebriti kita kerap menjadi duta bagi sesebuah produk kecantikan atau pakaian. Tetapi tawaran yang saya terima ini ternyata berbeza sekali.“Sekurang-kurangnya saya dapat mengenali Macau dengan lebih dekat dan selepas menginap selama tiga malam, pandangan saya tentang Macau berbeza sekali berbanding sebelum menjejakkan kaki ke tempat ini.“Tempatnya kecil tetapi meriah. Pembangunan di sini juga sangat maju lebih-lebih lagi apabila munculnya pembangunan CoD. Walaupun terpaksa bersaing dengan The Venetion yang sudah lama dibangunkan, ia merupakan saingan dalam menggalakkan industri pelancongan dunia.“Saya difahamkan CoD sedang merangka pembangunan dunia hiburan seperti Las Vegas, Amerika Syarikat. Menarik bukan?” tuturnya.Bagi Erra antara tempat menarik yang harus dilawati di CoD ialah Vquarium, The Bubble Show dan The House Of Dancing Water Theater. “Tiga tempat ini pasti membuka perasaan teruja pelancong lebih-lebih lagi di The House Of Dancing Water Theater.“Entahlah, sukar untuk saya terangkan, ketika berada di teater tersebut perasaan saya begitu teruja dan kagum dengan teknologi yang diperkenalkan.“Bayangkan dalam sebuah dewan yang besar mempunyai kolam air di tengah-tengahnya. Kemudian ketika persembahan teater dijalankan, tiba-tiba muncul satu kapal besar dan kemudian terus berubah menjadi lantai yang kering. Ia satu pengalaman yang menakjubkan,” kata Erra.Tambah Erra, memandangkan dia tidak berkesempatan membawa suami Engku Emran Zainal Abidin serta anaknya, Engku Aleesya pada lawatan tersebut, dia bercadang membawa mereka merasai percutian di resort CoD yang turut menyediakan tempat rekreasi kanak-kanak itu pada masa akan datang.